50 Penyokong PAS Sertai Umno

Diterbitkan: Sabtu, 25 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Seramai 50 penyokong PAS, termasuk Ketua Pemuda cawangan Kampung Kubang Telaga di sini mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Umno kerana kecewa selepas menyedari mereka tertipu dengan slogan perjuangan PAS.

Sebahagian daripada mereka menyerahkan borang penyertaan kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin di kampung berkenaan hari ini.

"Selepas bertahun-tahun saya menyertai PAS tiada apa-apa yang dilakukan bagi kepentingan umat Islam di Kelantan," kata Jusoh Hamat, 63, bekas anggota jawatankuasa cawangan itu, kepada pemberita selepas menyerahkan borang berkenaan.

Beliau berkata lebih mengecewakan sekarang apabila PAS lari daripada perjuangan asal iaitu menegakkan sebuah negara Islam dan beralih kepada mewujudkan sebuah negara berkebajikan sedangkan Umno telah lama memperjuangkannya.

Bekas Ketua Pemuda cawangan itu, Wan Azuan Wan Mamat, 31, berkata selama lima tahun beliau menyandang jawatan itu sehingga sekarang tiada apa-apa projek yang berasaskan Islam dilaksanakan untuk membangunkan masyarakat kampung. Katanya pelbagai slogan yang diwujudkan seperti 'membangun bersama Islam' tetapi ia hanya sebagai retorik semata-mata sekadar untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi memenangi pilihan raya.

Rakannya Mohd Nasir Jamil, 34, berkata pada pilihan raya umum 2008 lepas, PAS menabur pelbagai janji untuk membangunkan Kelantan tetapi selepas memenanginya tidak mempedulikan nasib rakyat miskin di kampung-kampung.

Ketika berucap pada majlis itu, Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok dan Timbalan Menteri Kewangan, mahu lebih ramai lagi anggota PAS di Kelantan keluar parti itu berikutan dasarnya menyimpang jauh daripada perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

Beliau berkata dasar baru parti itu untuk mewujudkan sebuah negara berkebajikan telah lama dilaksanakan oleh Umno sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya setiap tahun kerajaan pusat membelanjakan peruntukan lebih RM10 bilion untuk membantu rakyat miskin termasuk golongan petani, peladang dan nelayan dengan melaksanakan pelbagai program. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan