MATTA Bantah Demonstrasi Jalanan, Jejas Industri Pelancongan Dan Imej Negara

Diterbitkan: Jumaat, 24 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) membantah penganjuran demonstrasi jalanan haram di sini pada 9 Julai ini kerana ia akan menjejaskan industri pelancongan negara.

Presidennya Datuk Mohd Khalid Harun berkata kedatangan pelancong ke negara ini untuk mengunjungi destinasi popular seperti Kuala Lumpur akan berkurangan jika demonstrasi bermotifkan politik itu tetap diteruskan.

Mengambill contoh Thailand yang sering huru-hara akibat demonstrasi jalanan yang sekaligus menjejaskan industri pelancongan negara itu, beliau berkata pelancong hanya akan pergi ke sebuah negara yang stabil dan selamat untuk menikmati pelbagai tarikan termasuk keindahan, kebudayaan dan kedamaian sesebuah destinasi pelancongan.

"Ini kerana keadaan huru-hara yang tercetus dikhuatiri akan meninggalkan kesan mendalam terhadap mereka, sehingga mereka mungkin enggan ke negara ini lagi," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Tahunan MATTA: Pendidikan dan Latihan-Pemangkin Industri Pelancongan Unggul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Jumaat.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata kerajaan dan pemain industri pelancongan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak dan bekerja keras bagi memastikan sektor ini terus berkembang.

Justeru katanya, pihak penganjur harus memikirkan imej negara dan nama baik Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan unggul di Asia ketika ini sebelum bertindak menganjurkan demonstrasi haram tersebut.

Menyentuh persidangan itu, beliau berkata ia bertujuan mendedahkan penggalak industri dan anggota MATTA mengenai kepentingan pendidikan dan latihan dalam memastikan industri pelancongan terus berkembang dan bersaing secara sihat.

"Bukan lagi satu rahsia kita kini bersaing dengan negara-negara jiran dalam menarik kedatangan pelancong ke negara ini...persoalannya adakah kita mampu dan bersedia menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama para pelancong?

"Dengan persidangan ini kita harap ia dapat dijadikan platform kepada mereka untuk mempelajari dan berkongsi usaha dan langkah terbaik bagi memastikan industri pelancongan kita terus mantap dan maju ke hadapan," katanya.

Sementara itu Dr Dawos ketika mengulas sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat penyiasatan terhadap kementeriannya berhubung isu perbelanjaan RM1.8 juta bagi mengendalikan laman sosialnya, beliau berkata setakat ini tiada perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut.

Kementerian Pelancongan sebelum ini bersedia disiasat oleh SPRM berhubung isu perbelanjaan RM1.8 juta yang dibayar kepada sebuah syarikat untuk mengendalikan laman sosial mempromosikan aktiviti pelancongan kementerian itu bagi tempoh tahun ini hingga 2013.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan