PPP Masih Boleh Menyumbang Kepada Kemenangan BN Pada PRU-13

Diterbitkan: Rabu, 22 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) yang tidak mempunyai kerusi Parlimen atau negeri, masih boleh menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kata presidennya Datuk M. Kayveas.

Beliau berkata ini kerana perjuangan PPP adalah ikhlas sebagai parti komponen BN yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum.

"Sebagai sebuah parti komponen BN, PPP berikrar akan terus menyokong dan bekerja keras membantu memperkukuhkan BN bagi memastikan kemenangan besar B Ndalam pilihan raya umum nanti," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau juga berkata lebih ramai golongan muda akan menyertai PPP ekoran kejayaan parti itu mendaftarkan kira-kira 70,000 pengundi baru yang kebanyakkannya adalah daripada kalangan ini berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun.

"Kejayaan ini sekaligus menunjukkan golongan muda telah kembali menyokong kerajaan yang dipimpin BN setelah mereka sedar bahawa selama ini mereka hanya diperalatkan oleh pihak pembangkang untuk meraih undi semasa pilihan raya," tambahnya.

Sementara itu beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan perhimpunan agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-58 Ahad ini.

Perhimpunan agung itu akan menyaksikan pemilihan bagi sayap Pemuda dan Wanita kerana kepimpinan di peringkat pusat telah mengadakan pemilihan tahun lepas.Bagaimanapun, katanya bagi jawatan Ketua Pemuda, Haridz Mohan kekal memegang jawatan itu setelah menang tanpa bertanding. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan