Pasukan Petugas Khas Tangani Serangan Penggodam Dengan Berkesan - Tsu Koon

Diterbitkan: Rabu, 22 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas yang ditubuhkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berjaya menangani serangan penggodam ke atas beberapa laman web kerajaan baru-baru ini dengan membaik pulih laman-laman web berkenaan dalam purata masa tiga jam sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata demikian berdasarkan statistik serangan yang mana pada 16 Jun lepas telah berlaku serangan menggodam 15 laman web kerajaan dan diikuti oleh lima lagi laman web pada 17 Jun.

Beliau berkata pada 18 Jun tiada serangan berlaku dan pada 19 dan 20 Jun, masing-masing hanya satu serangan.

"Oleh itu nampaknya dalam dua tiga hari ini, serangan ini telah reda tetapi kita masih terus memantau keadaan ini," katanya semasa mengulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini Selasa.

Katanya, pasukan itu terdiri daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cybersecurity di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Pertahanan.

"Pasukan itu ditubuhkan sejurus selepas satu amaran oleh bakal penggodam telah dipamerkan dalam laman 'YouTube' terhadap negara Malaysia pada hari yang sama (14 Jun)," katanya.

Pada 14 Jun lepas, sekumpulan penggodam yang bergelar 'Anonymous' dan mendakwa berpangkalan di luar negara memberikan amaran untuk menyerang laman-laman web kerajaan atas alasan kerajaan negara ini mengenakan tapisan ketat ke atas kebebasan Internet.

Selain itu, Dr Koh berkata serangan penggodam tersebut besar kemungkinan merupakan lanjutan daripada serangan yang dilakukan ke atas Turki pada 9 Jun dan Sepanyol pada 11 Jun.

"Siasatan perlu dilakukan terhadap perkara ini sekiranya serangan tersebut ada kaitan dengan serangan yang berlaku terhadap kedua-dua negara itu baru-baru ini.

"Kita perlukan siasatan tetapi kemungkinan ada juga punca-punca dalam negeri yang mungkin mengakibatkan apa yang berlaku," katanya.

Persidangan dewan disambung pada Rabu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan