Jariah KP Baru JPN

Diterbitkan: Rabu, 22 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Alwi Ibrahim
Datuk Alwi Ibrahim

PETALING JAYA: Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datin Jariah Mohd Said pada Rabu dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang baru bagi menggantikan Datuk Alwi Ibrahim yang ditukarkan ke KDN berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Pertukaran tersebut disebabkan oleh pelantikan Alwi sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) KDN bagi menggantikan Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap yang bersara wajib Selasa.

mStar Online difahamkan Alwi dan Jariah masing-masing telah menerima surat rasmi berhubung pertukaran mereka minggu lalu.

Kedua-duanya akan melaporkan diri kepada Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Tan Sri Mahmood Adam di Kementerian pagi Rabu sebelum melaksanakan tugas baru masing-masing.

Jariah telah menyandang jawatan Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan di KDN sejak 16 September 2008 manakala Alwi menjadi Ketua Pengarah JPN selama dua tahun dua bulan iaitu sejak 22 April 2009.

Jariah yang dilahirkan pada 2 Mei 1954 di Matang, Perak adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya.

Alwi yang dilahirkan pada 24 November 1959 di Banting, Selangor pula adalah seorang pegawai tadbir dan diplomatik yang berpengalaman dengan memegang pelbagai jawatan dalam sektor awam termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang kini telahpun dibubarkan.

Sementara itu Alwi ketika dihubungi mStar berkata, beliau menyifatkan pertukaran tersebut sebagai satu kelaziman yang berlaku bagi penempatan semula di mana-mana Kementerian atau Jabatan dalam sektor awam.

“Saya menerima pertukaran ini dengan penuh tanggungjawab dan akan mendapatkan penerangan secara jelas daripada KSU mengenai tugasan baru saya nanti.

“KDN merupakan satu Kementerian yang sangat besar membariskan pelbagai agensi-agensi yang berkait rapat dengan orang ramai secara keseluruhan,” katanya lagi.

Menurut Alwi, beliau berusaha untuk memberi perhatian dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan terbaik.

“Pelantikan saya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) bagi menggantikan Raja Azahar yang bersara.

“Bagaimanapun, saya akui jawatan baru ini lebih mencabar dan saya menerimanya dengan baik,” katanya ketika ditanya mengenai pertukaran jawatan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan