Ibrahim Ali Sedia Disiasat

Diterbitkan: Selasa, 21 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan beliau tidak gentar untuk disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan didakwa bersifat rasis terhadap kaum Cina.

"Nak siasat... siasatlah. Saya tiada masalah langsung untuk disiasat kerana kita tidak boleh lari daripada undang-undang. Saya manusia yang mengaku kesilapan sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahu beliau disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang mengugut kaum lain.

Menurut Ibrahim, kenyataan beliau dimanipulasi oleh media alternatif sehingga menyebabkan orang lain tersalah tafsir mengenai apa yang diperkatakannya.

"Tiada masalah timbul pada sidang media selepas perhimpunan di Kampung Baru, Ahad lalu. Cuma kenyataan saya disalah anggap apabila saya katakan kaum Cina elok duduk di rumah pada perhimpunan Bersih itu," jelasnya.

Ibrahim berkata demikian kerana tidak mahu kaum Cina turut serta dalam perhimpunan Bersih demi kebaikan mereka.

"Selalunya apabila tunjuk perasaan, orang Cina tidak akan terlibat. Jadi saya keluarkan kenyataan itu sebagai nasihat kerana tidak mahu mereka turut serta dalam perhimpunan itu," katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, sebuah media alternatif melaporkan perkara yang sebaliknya mengenai kenyataan beliau yang sebenarnya tidak mahu orang Cina menyertai perhimpunan tersebut.

"Saya sudah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya tahu apa yang saya buat, baik atau tidak. Kalau nak katakan kenyataan itu menghasut, kenyataan pihak lain untuk menyertai perhimpunan Bersih walaupun polis tidak akan mengeluarkan permit tidak menghasut?," tambahnya.

Sementara itu, Ibrahim menggesa media supaya melaporkan berita dengan tepat dan tidak berat sebelah agar kenyataan yang dikeluarkan tidak disalah anggap oleh orang lain.

"Saya tak inginkan publisiti tapi tolong laporkan berita yang tepat dan cuba untuk tidak bersikap berat sebelah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan