Agong Lawat Pulau Pinang Jumaat, Sabtu

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah akan berangkat melakukan lawatan rasmi dua hari ke Pulau Pinang mulai Jumaat ini.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Seri Paduka berdua dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 11 pagi dan disambut oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Sharif.

Tuanku Mizan kemudiannya dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri di sini sebelum berangkat bersama Tuanku Nur Zahirah untuk merasmikan sekolah agama Maahad Al Mashoor Al-Islami di Balik Pulau.

Pada sebelah malamnya, Seri Paduka berdua akan diraikan pada majlis Santapan Menjujung Kasih Kerajaan Negeri di Hotel Equatorial di Bukit Jambul.

Majlis itu turut dihadiri oleh Abdul Rahman dan isteri serta Ketua Menteri Lim Guan Eng bersama isteri Betty Chew Gek Cheng.

Pada hari Sabtu, Tuanku Mizan dijadual merasmikan Al-Khamsa Endurance Club di Taman Perbandaran Pulau Pinang pada pukul 9 pagi sebelum menyertai Tuanku Nur Zahirah untuk menaiki Bukit Bendera pada 10.30 pagi.

Seri Paduka berdua akan menghadiri majlis santapan tengah hari di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Seri Mutiara sebelum berangkat ke Terengganu pada pukul 4.20 petang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan