Shaharuddin Tamby, Saida dan Mohamad Khir

Diterbitkan: Sabtu, 18 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RABU lalu, pelakon Shaharuddin Tamby dan isteri, Nor'aini Muhammad telah ke Mahkamah Rendah Syariah Gombal Timur, Kuala Lumpur untuk menghadiri prosiding perceraian mereka.

Permohonan untuk bercerai itu difailkan oleh Nor'aini dan media yang hadir untuk membuat liputan akhirnya 'berputih mata' kerana prosiding dijalankan secara tertutup atas permintaan Nor'aini.

Sebagai seorang pelakon, Shaharuddin sememangnya mempunyai tarikan, termasuklah seorang wanita yang sanggup menunggu di mahkamah untuk mengikuti prosiding itu, sedangkan kesnya adalah antara kes pertama yang disebut.

Wanita itu, yang turut memaksa dua ahli keluarganya untuk sama menunggu, meluahkan rasa kecewa apabila Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin membenarkan permohonan Nor'aini dan mengarahkan agar dewan mahkamah dikosongkan.

Dia juga begitu 'prihatin' dengan wartawan apabila memberikan idea supaya meninggalkan perakam - yang sudah pasti ditolak mentah-mentah kerana ia satu kesalahan - dan meminta agar wartawan menerimanya sebagai kawan di laman sosial.

Apapun, berita tentang prosiding itu sudah disiarkan, dan difahamkan, pasangan tersebut tidak jadi untuk bercerai selepas Nor'aini menarik semula permohonannya.

Alhamdulillah, rumah tangga yang telah menjangkau usia 33 tahun itu dapat diselamatkan dan Shaharuddin pada prosiding lalu juga berulang kali memberitahu hakim syarie bahawa dia tidak mahu menuruti permintaan Nor'aini yang masih disayanginya.

Penulis juga ingin memberikan 'tabik spring' kepada Shaharuddin kerana tidak melatah meskipun dikejutkan dengan kehadiran wartawan pada prosiding pertama mahkamah, meskipun kehadiran kami tidak disenangi oleh isterinya.

Secara berhemah, dia menghampiri pihak media dan memohon agar Nor'aini tidak diganggu dan memohon maaf kerana tidak dapat mengulas panjang mengenai kes itu bagi menjaga hati wanita tersebut.

Hari yang sama, pada sebelah petangnya pula menyaksikan kehadiran penyanyi, Saida - yang juga kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza - ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi menghadiri sebutan permohonan bercerai.

Penyanyi yang mencipta nama menerusi percubaannya di rancangan realiti, Akademi Fantasia 6 memohon untuk dilepaskan secara baik oleh suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri.

Wanita bertubuh kecil dan berkulit cerah itu nekad dengan pendiriannya untuk bercerai, yang dinyatakan kepada Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi sejak dari hari pertama kes disebut, iaitu pada 27 Oktober 2010.

Katanya, mereka yang telah dikurniakan empat orang anak itu tidak lagi mempunyai persefahaman, selain berlaku perbalahan yang tidak dapat dipulihkan.

Lain pula ceritanya dengan Mohd Ghazali yang dilihat sedang 'berjuang' untuk mempertahankan rumah tangganya dan salah satu usahanya adalah dengan mengajak Saida untuk mengerjakan umrah.

Pelawaan tersebut diutarakan kepada mahkamah sebanyak dua kali dan Saida yang pada mulanya bersetuju - dengan syarat akan ditemani oleh ahli keluarga - akhirnya menolak ajakan itu pada Rabu lalu.

Pendirian Saida dan Mohd Ghazali menyebabkan Mohd Suhaily memerintahkan supaya hakam (penimbang tara) mahkamah dilantik untuk mencari jalan penyelesaian terbaik memandangkan hakam yang terdiri daripada ahli keluarga mereka gagal untuk berbuat demikian.

Sepanjang minggu lalu juga melihatkan penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berpusu-pusu untuk memasuki galeri awam Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengikuti perbicaraannya yang didakwa menyalahgunakan kuasanya dalam hal pembelian rumah yang dikatakan bernilai RM6.5 juta.

Mohamad Khir dituduh membeli sebuah rumah banglo itu dan dua lot tanah di Seksyen 7, Shah Alam pada harga RM3.5 juta daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd, menerusi pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Pada hari terakhir memberi keterangan, Shamsuddin memberitahu bahawa dia didesak oleh Mohamad Khir untuk tidak mengaitkan namanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipanggil untuk memberikan kenyataan pada tahun 2009.

Ketika memberikan kenyataan secara bersumpah di mahkamah, Shamsuddin berkata desakan tersebut telah menyebabkan dia memberikan kenyataan yang berbeza kepada SPRM, selain dijanjikan kes itu akan dikawal.

Malah, katanya lagi sehingga mereka dituduh di mahkamah pun, Mohamad Khir masih memberikan janji bahawa 'kes itu boleh diselesaikan' menyebabkan saksi keliru kerana pada pemahamannya, dia hanya seorang saksi dalam siasatan SPRM.

Keterangan lain juga manyaksikan bagaimana dia 'disuruh' oleh Mohamad Khir untuk membeli hartanah itu pada harga RM6.5 juta, selepas mencapai persetujuan dengan pemilik asal, Shaiful Aznir Shahabudin yang pada awalnya meletakkan harga RM7juta.

Katanya, Mohamad Khir tidak pernah menggunakan perkataan 'suruh' tetapi ia dapat 'dibaca' dari 'Bahasa Orang Berniaga' iaitu bahasa tubuh dan matanya apabila Mohamad Khir berkata 'Din, you (kamu) ajelah'.

Ayat tersebut diutarakan oleh Mohamad Khir kepada saksi selepas seorang ahli perniagaan, Datuk Sumadi Ismail menolak 'suruhan' Mohamad Khir agar membeli hartanah itu, menyebabkan pemahaman saksi dia adalah orang yang perlu membeli hartanah itu.

Shamsuddin juga memberitahu, dia positif bahawa Mohamad Khir akan membeli semula hartanah itu dan harapan itu memang berlaku, cuma terdapat perbezaan yang amat ketara dalam jumlah angka apabila Mohamad Khir dikatakan hanya membayar RM3.5 juta.

Walaupun angka yang terlibat adalah kecil, iaitu 6 dan 3, namun sudah pasti angka 0 yang beratur dibelakangnya membawa perbezaan yang amat besar.

Mengapa Shamsuddin boleh mengikut kata Mohamad Khir? Katanya ia adalah disebabkan bimbang projek yang dilakukannya di Selangor tergugat kerana orang tersebut bukan calang-calang, tetapi seorang Menteri Besar di tempat beliau mencari makan.

Seorang rakan penulis pernah ditanya oleh seorang penyokong Mohamad Khir mengapa wartawan menulis berita-berita yang boleh dikatakan 'dari sudut yang gelap' untuk imejnya.

Berita-berita yang dibaca, sama ada di surat khabar mahupun portal berita ditulis berdasarkan keterangan pada perbicaraan di mahkamah, satu institusi keadilan yang tidak boleh dibuat main.

Ia bukan datang dari sumber yang tidak bersefahaman dengan Mohamad Khir, seperti dari seteru politiknya, tetapi dari keterangan-keterangan seorang saksi yang telah bersumpah untuk bercakap benar.

Jika mahu dikatakan berita itu tidak membantu imej Mohamad Khir, itu adalah kerana kes masih diperingkat pendakwaan, dan jika ada keterangan yang dikemukakan oleh barisan peguam yang 'membantu' imej Mohamad Khir, ia ada juga diselitkan pada berita tersebut.

Cuma batasan ruang menyebabkan tidak semua keterangan yang diberikan oleh saksi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang tidak ditulis, dan jika dibuat begitu, mungkin satu halaman penuh tidak akan mencukupi.

Apapun, jika dan seandainya mahkamah memutuskan untuk mendengar keterangan Mohamad Khir pada peringkat pembelaan, sudah tentu berita yang ditulis adalah dari sudut beliau dan mungkin waktu itu, penyokong tersebut boleh kembali tersenyum.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan