Kemudi Selar Tindakan PAS Haramkan Utusan Di Kelantan

Diterbitkan: Sabtu, 18 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kelab Wartawan Kelantan Darul Naim pada Sabtu membidas kerajaan PAS Kelantan kerana menjadikan media sebagai mangsa politik dengan mengharamkan Utusan Malaysia membuat liputan pada majlis rasminya.

Timbalan Presidennya Mohd Harris Hazri Abdul Halim berkata tindakan itu tidak melambangkan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan demokrasi.

"Seharusnya PAS Kelantan lebih bersikap terbuka kerana rakyat perlu mengetahui hal pentadbiran kerajaan melalui akhbar Utusan Malaysia. Perkara ini tidak wajar dipolitikkan dengan PAS menunjukkan kuasa mereka dan mengharamkan wartawan di Kelantan. Apa dosa mereka?," katanya kepada Bernama, di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan Kelantan hari ini mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan kerajaan pimpinan PAS itu sebagai respons kepada penyiaran karikatur yang disifatkan mereka menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina oleh akhbar terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Harris berkata tindakan PAS tersebut adalah tidak adil bagi wakil Utusan Malaysia di Kelantan yang tidak terbabit dengan penyiaran karikatur berkenaan.

"Ini bukan salah wartawan Utusan Malaysia di Kelantan, mereka bukannya pelukis karikatur itu tetapi ianya dilakukan oleh ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur. Apakah rasional diharamkan mereka membuat liputan majlis kerajaan negeri," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan