Akibat Karikatur, PAS Kelantan Haramkan Utusan Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 18 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kerajaan PAS Kelantan pada Sabtu mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadzli Shaari, berkata keputusan itu dibuat berikutan penyiaran karikatur yang disifatkan menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina, yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.

Katanya, surat rasmi oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Urusetia DU Nakan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai perkara itu. "Tindakan itu akan berterusan sehinggalah pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara rasmi atau menarik balik penyiaran karikatur berhubung isu itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, PAS melancarkan kempen 'Boikot Utusan Malaysia' kerana mendakwa akhbar itu menghina agama Islam menerusi karikatur yang disiarkan pada Rabu lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan merombak semula susunan anggota jawatankuasa peringkat negeri dengan mengekalkan pemimpin lama untuk tiga jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri iaitu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob, anggota exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa dan exco Mohd Amar Nik Abdulllah.

Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Negeri itu berkata bekas exco yang juga anggota DUN Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha PAS Negeri menggantikan ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, manakala ADUN Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad dilantik sebagai Bendahari PAS negeri.

Nik Abdul Aziz turut mengumumkan pengguguran ADUN Bukit Tuku, yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Rantau Panjang sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri dan digantikan dengan Setiausaha Politiknya, Wan Nik Wan Yusoff.

Ditanya mengenai pilihan raya umum ke-13, Nik Aziz mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan kerusi DUN Chempaka jika kesihatannya mengizinkan.

"Kalau saya sihat, tenaga saya ada, InsyaAllah (akan bertanding)," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan