Muhyiddin Mahu Pengajur Perhimpunan Bersih Fikir Kesan Terhadap Negara Dan Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penganjur dan individu yang berhasrat menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya berfikir semasak-masaknya kesan perhimpunan itu kepada kerajaan, negara dan rakyat, sekiranya ia diadakan.

Beliau berkata rakyat bimbang perhimpunan itu boleh menimbulkan satu keadaan ketidaktenteraman kerana akan berlaku pertembungan dua pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan itu.

"Polis terima banyak aduan dan ini boleh mencetuskan keadaan yang tidak selamat bagi negara, polis takkan keluarkan permit maka ianya satu pergerakan haram dan menyalahi undang-undang.

"Perhimpunan itu pastinya tidak akan didukung oleh seluruh rakyat, mungkin sekelompok sahaja atau ada pihak lain yang menumpang," katanya ketika diminta mengulas mengenai rancangan untuk mengadakan perhimpunan itu buat kali kedua pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean 2011 dan pelancaran semula Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) peringkat kebangsaan di sini, hari ini, Muhyiddin berkata pihak tersebut tidak mengambil kira soal keamanan negara yang dicapai kini tetapi hanya memikirkan soal kepentingan politik dan puak-puak mereka sahaja. "Pelbagai tuduhan dan isu akan timbul, pelbagai perkara yang tidak menyenangkan akan dibangkitkan, negara yang aman nak kita kekalkan dalam keadaan yang baik, ekonomi sudah berkembang, tetapi mereka tidak ambil kira soal itu," katanya.

Perhimpunan kali kedua itu dirancang untuk diadakan pada 9 Julai ini di sini termasuk di Sabah dan Sarawak bagi menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.

Pada 2007, Bersih menggunakan slogan "Gelombang Kuning" telah menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra, atas alasan sama.

Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran mengumpul 100,000 peserta, apabila hanya disertai beberapa ribu orang.

Demonstrasi jalanan itu bagaimanapun telah menggugat ketenteraman awam selain menyebabkan kesesakan di lokasi-lokasi utama di ibu negara.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan nelayan dan pemilik bot yang melancarkan mogok apabila tidak ke laut sebagai bantahan terhadap kenaikan harga diesel berkuatkuasa bulan ini, Muhyiddin berkata mereka sepatutnya tidak bertindak terburu-buru.

"Ini kerana ia boleh menjejaskan penangkapan ikan yang boleh memberi kesan kepada bekalan ikan pada negara, tentunya kesan panjang ia tidak baik, apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu mereka," katanya.

Muhyiddin berkata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar telahpun meneliti perkara itu dan perkara ini akan dibawa ke kabinet. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan