Nilai Jualan Produk Felda Cecah RM1 Bilion Tahun Lepas

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.06 bilion dicatatkan sebagai nilai jualan yang diperoleh daripada aktiviti keusahawanan warga peneroka di rancangan Felda tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata angka itu menunjukkan peningkatan kira-kira dua kali ganda dalam tempoh lima tahun apabila jumlah jualan produk usahawan Felda mula direkodkan pada 2005.

"Jumlah jualan pada 2005 ialah sebanyak RM415 juta, 2006 (RM550 juta), 2007 (RM539 juta), 2008 (RM842 juta), dan 2009 (RM911 juta)," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Ismail Mohamed bertanya mengenai jumlah jualan produk keluaran usahawan peneroka Felda sejak 10 tahun dan jenis produk dipasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Ahmad Maslan berkata Felda telah mewujudkan rangkaian peruncit bagi membantu memasarkan produk keluaran peneroka di samping membimbing para usahawan mempraktikkan sistem dokumentasi dan transaksi jual beli sistematik.

Lokasi rangkaian peruncit ialah di Galeri Kraf Jalan Conlay, Kedai SAWARI di Wisma Felda dan Kiosk SAWARI di Sungai Klah, Trolak, Perak.

Selain itu, katanya Felda turut membina dan menguruskan Pusat Pembungkusan Makanan di Pasak, Johor bagi menaik taraf pembungkusan dan pelabelan produk peneroka kepada jenama f-Best Foods.

Ahmad Maslan berkata selain rangkaian peruncit, Felda turut memasarkan produk-produk keluaran warga peneroka ke cawangan-cawangan pasar raya besar seperti Carrefour, Mydin, AEON Jusco, minimarket D'Mart dan sembilan buah hotel di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

Antara produk yang dipasarkan oleh Felda termasuk produk makanan sejuk beku seperti karipap, samosa, popia, roti canai, donut, pau; produk makanan kering; produk air berkarbonat; pelbagai jenis biskut dan kek serta produk kraf.

Ahmad Maslan berkata pada tahun ini, program eksport merupakan fokus utama Felda bagi meluaskan pasaran produk-produk peneroka.

Katanya kerjasama telah diusahakan dengan pasar raya Tesco bagi memasarkan produk peneroka di pasar raya itu di Beijing dan United Kingdom selain kerjasama dengan AEON Jusco untuk memasarkan produk berkenaan ke Jepun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan