Dasar Gaji Minimum Sebelum Hujung Tahun - PM

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap dasar gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata ini kerana beliau dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia bahawa Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan tidak lama lagi, seterusnya akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

"Kalau lulus rang undang-undang ini, maka kita akan wujudkan majlis tersebut, saya berharap sebelum penghujung 2011 gaji minimum akan dapat dilaksanakan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini Selasa malam.

Turut hadir ialah Presiden MTUC Mohd Khalid Atan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Najib berkata selain dasar gaji minimum, beberapa perkara lain seperti elaun sara hidup (Cola), persaraan dan pekerja asing yang diutarakan oleh Mohd Khalid dalam ucapannya terdahulu akan dibawa ke majlis tersebut untuk diperhalusi secara mendalam.

"Apa yang dilontarkan oleh Presiden MTUC mendapat sokongan kerajaan, harus kita perjuangkan. Apa yang difikirkan baik oleh majlis itu akan dibawa kepada pertimbangan Menteri Sumber Manusia. Semua perkara ini amat wajar dihalusi secara mendalam supaya keputusan-keputusan kita nanti akan mendatangkan kebaikan untuk semua," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil beberapa tindakan yang mencerminkan bahawa beliau amat memahami hasrat para pekerja dan menyelami permasalahan mereka seperti menaikkan gaji posmen dan pengawal keselamatan di atas paras kemiskinan.

Dalam pada itu, Najib turut menyifatkan MTUC sebagai "umbrella body" bagi kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini kerana ia merupakan satu badan yang boleh memainkan peranan positif untuk menjaga kebajikan para pekerja.

"Kepada 12 juta para pekerja Malaysia, saya ucapkan tahniah kerana telah berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam jangka masa hanya satu generasi sahaja," katanya.

Beliau berkata cabaran untuk pekerja, majikan, kerajaan dan rakyat termasuk penjawat awam dan pekerja swasta pada masa kini ialah untuk sama-sama menyumbang ke arah menjayakan transformasi negara kepada sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Bagi menjayakan wawasan negara dan bagi kita merealisasikan masa depan yang lebih baik dan lebih terjamin kepada para pekerja dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya, maka kita perlu masing-masing berganding bahu sebagai satu pasukan negara Malaysia," katanya.

Najib berkata era di mana pekerja, majikan dan kerajaan selalu berada di dalam pendekatan bersifat konflik atau perbalahan secara terbuka pada tahun 60-an dan 70-an dahulu bukan lagi satu pendekatan realistik yang boleh menjamin pembangunan yang mapan dan kadar pertumbuhan yang tinggi.

"Sebaliknya pendekatan yang lebih wajar yang menjadi landasan dan ikutan kita ialah menjadikan ketiga-tiga pihak ini sebagai satu pasukan, dapat bergabung dalam satu perkongsian untuk mencari penyelesaian yang positif.

"Ini supaya kita saling beruntung, mendapat keuntungan dan rezeki yang lebih, majikan dapat menjalankan urusan mereka dengan baik dan kerajaan juga beruntung kerana negara bertambah lebih maju dan harmoni," katanya.

Beliau berkata hubungan itu merupakan yang paling ideal untuk merapatkan jurang perbezaan pendapat dan memperjuangkan hasrat dan tuntutan dengan kaedah yang sebaik-baiknya.

"Jika apa yang dituntut kita itu adalah amat adil dan munasabah. Jika apa yang diminta oleh pekerja memang patut dipertimbangkan maka bagi saya tidak ada sebab kerajaan mahupun majikan harus ketepikan tuntutan itu," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan portal aduan pekerja yang dibangunkan dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan