JPN Terima Bukti DNA Untuk Percepat Proses Pendaftaran Kewarganegaraan

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima bukti Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk mempercepatkan proses pendaftaran kewarganegaraan bagi mereka yang mempunyai masalah dari segi dokumen kelahiran.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap berkata pendekatan yang mula digunakan sejak tahun lalu itu boleh dipakai oleh pemohon yang mempunyai ibu bapa atau adik-beradik yang merupakan warganegara Malaysia sebagai bukti sokongan.

"Contohnya kalau ibu bapa pemohon tak pernah keluar negeri dan tak pernah ada pasport, maknanya dia memang lahir di Malaysia dan secara automatik kita boleh bagi dia dokumen tersebut.

"Kalau mengikut proses lama, kita kena cari bidan atau saksi yang mungkin berpuluh tahun takkan dapat. Sebab itu banyak kes tak dapat diselesaikan kerana ramai saksi enggan ke depan mungkin kerana masalah masa atau kewangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia kepada 157 penerima di sini Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah JPN Datuk Alwi Ibrahim.

Raja Azahar berkata setakat ini terdapat lapan kes yang menggunakan bukti itu untuk mendapatkan kewarganegaraan.

Beliau berkata ia bagaimanapun tidak bermakna bukti-bukti lain tidak diperlukan, sebaliknya ia hanya berupa dokumen tambahan bagi mempercepatkan proses.

Mengenai majlis tersebut, Raja Azahar berkata daripada 157 penerima, 28 merupakan penerima di bawah Program MyDaftar, kempen yang dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri bersama JPN, Kementerian Dalam Negeri untuk mendaftarkan penduduk berketurunan India yang mempunyai isu pengenalan diri.

Beliau berkata sejak dimulakan Februari lalu itu, hampir 15,000 orang tampil untuk mengemukakan isu yang dihadapi masing-masing melalui program itu, namun hanya 9,000 yang mengembalikan borang untuk pendaftaran.

Daripada jumlah itu, hampir kesemua permohonan untuk lewat daftar kelahiran telah diselesaikan manakala lebih 4,000 permohonan yang melibatkan permohonan kewarganegaraan masih belum diselesaikan kerana prosedur pendaftaran yang memerlukan dokumen sokongan dan pelepasan dari pihak polis, katanya.

Raja Azahar berkata mereka yang tidak memulangkan borang itu kembali akan dijejaki bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan dibantu untuk diselesaikan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan