JPAM Kini Peneraju Pengurusan Bencana - Abu Seman

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menangani sebanyak 54,453 kes kecemasan harian melibatkan 27,432 mangsa pada tahun 2010, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata angka itu meningkat sebanyak 52 peratus berbanding 35,830 kes kecemasan sepanjang tahun 2009.

" Bagi empat bulan pertama 2011, JPAM telah berjaya menangani sebanyak 22,376 kes kecemasan harian," katanya ketika merasmikan penutupan Eksesais Pertahanan Awam Kali Ke-17 Peringkat Kebangsaan di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, Ahad.

Eksesais Pertahanan Awam itu bertujuan mengkoordinasikan gerak kerja menyelamat sekiranya melibatkan bencana tahap tiga dengan lebih sistematik dan berkesan.

Beliau berkata JPAM kini sebagai peneraju dalam pengurusan bencana dan bukan lagi sebagai jabatan yang dianggap setakat memberikan perkhidmatan sokongan sahaja.

Menurutnya kemampuan JPAM terserlah sejak penglibatan jabatan itu dalam perkhidmatan talian kecemasan 999 berbanding talian 911 terdahulu.

" JPAM mempunyai peranan penting bagi memberi perlindungan kepada penduduk awam khususnya apabila negara dilanda krisis, bencana mahupun peperangan dan tanggungjawab JPAM bukan lagi terikat hanya dengan aktiviti latihan anggota semata-mata," katanya.

Abu Seman juga berkata JPAM merupakan satu-satunya agensi yang beroperasi di pantai-pantai peranginan utama seluruh negara.

" Menerusi operasi itu sebanyak 30 buah menara penyelamat pantai telah dibina bagi mengawasi kes-kes kecemasan air di kawasan pantai," katanya.

Beliau berkata dengan kekuatan anggota terlatih seramai 235,227 orang dan 76,068 orang pelatih, JPAM telah menjadi pasukan sukarelawan rakyat yang berada di barisan paling hadapan dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana.

JPAM kini mempunyai 127 buah pejabat daerah mahupun unit pada tahun ini berbanding 68 buah pejabat tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan