Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia Dilancarkan Isnin Ini

Diterbitkan: Sabtu, 11 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa beliau begitu teruja dan tidak sabar-sabar untuk menyertai perbincangan Meja Bulat 1Malaysia apabila ia dilancarkan Isnin ini untuk mendapatkan idea-idea yang baru dan segar dan jalan penyelesaian daripada rakyat.

"Saya berharap kita semua akan menggunakan peluang ini untuk bersatu dan melahirkan idea dan penyelesaian yang kreatif. Sampaikanlah inisiatif ini kepada keluarga dan rakan-rakan anda supaya kita semua akan mendapat cadangan sebanyak yang mungkin," katanya dalam entri terbaru laman blognya bertajuk "Sertailah Meja Bulat Online 1Malaysia".

Najib berkata perbincangan sebegini akan membolehkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kedudukan geografi, profesion dan usia, mengemukakan komen, cadangan atau idea yang saksama dan konstruktif untuk meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia.

Antara bidang yang akan dibincangkan termasuklah ekonomi, perpaduan nasional, kesihatan, penyertaan belia dan sukan.

Perantara Meja Bulat online ini terdiri daripada beberapa tokoh yang amat dihormati dan disanjung tinggi di negara ini, katanya.

Perdana Menteri berkata sejak sebulan yang lalu, beliau telah meminta pejabatnya untuk menjemput sebilangan rakyat Malaysia yang secara amnya dikenali sebagai ikon atau tokoh contoh dalam bidang masing-masing dan latar belakang yang pelbagai dan ada di antara mereka berpangkalan di luar negara.

Pakar-pakar Bidang (SMEX) akan menyertai beliau untuk membantu para peserta melalui pelbagai perbincangan dan menyusun idea untuk didalami selanjutnya dan dipertimbangkan.

"Memang benar, perbincangan ini bertujuan untuk mendapatkan pemikiran dan input yang baru dan segar hasil daripada perbincangan intelektual dan sihat di kalangan rakyat Malaysia.

"Pakar-pakar Bidang ini begitu komited untuk menyampaikan dan menerangkan tentang beberapa isu, berkongsi masa dan pengalaman mereka untuk membantu anda menyusun idea dan seterusnya menyampaikan sorotan-sorotan utama perbincangan anda kepada saya untuk didalami selanjutnya atau dipertimbangkan untuk pelaksanaan," katanya.

Najib berkata beliau juga sudah menjadualkan satu sesi khas untuk bertemu semua Pakar-pakar Bidang SMEX Perbincangan Meja Bulat 1Malaysia dan akan memaklumkan dengan lebih lanjt melalui twitter dalam masa terdekat.

Pakar-pakar Bidang ini terdiri daripada bekas pemain bola sepak negara dan pakar permainan bola sepak Serbegeth “Shebby” Singh, pemimpin korporat Tan Sri Tony Fernandes, pendidik dan pakar bidang kreativiti Tan Sri Lim Kok Wing, personaliti televisyen Aznil Nawawi, pelakon dan personaliti televisyen Lisa Surihani, personaliti televisyen dan teater Low Ngai Yuen, pencipta Pendrive, Pua Khein Seng.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Marimuthu Nadason, artis rakaman Amy Search dan Pete Teo, Ketua Pegawai EKsekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz, pakar media sosial David Lian, penyokong 1Malaysia dan perpaduan nasional Anas Zubedy.

Mereka juga termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Johan Mahmood Merican, Presiden Persatuan Pencintan Alam Malaysia Dr Maketab Mahmood, Pengarah Global Environment Centre Dr Faizal Parish, pemain badminton Nombor 1 Dunia Datuk Lee Chong Wei, pelumba basikal negara Azizulhasni Awang, pemandu perlumbaan Formula 3 Jazeman Jaafar, bekas juara wushu dunia Ho Ro Bin dan pemain skuasy negara Azlan Iskandar.

Najib berkata konsep Meja Bulat ini telah lama wujud dan digunakan oleh pelbagai masyarakat untuk membincangkan isu-isu dengan cara berhemat dengan hak setiap orang untuk bersuara dipatuhi dan setiap input yang diberikan setiap peserta dihargai.

Katanya perbincangan online Meja Bulat 1Malaysia memperbaharui konsep ini sesuai dengan landskap online yang semakin berkembang dan dikhususkan untuk memenuhi keperluan warganegara Malaysia.

"Saya berpendapat dan saya juga mahu membuat eksperimen dengan idea online yang unik ini - bahawa ini mungkin satu lagi kaedah bagi rakyat Malaysia untuk berinteraksi bukan sahaja dengan saya malahan sesama kita semua sebagai satu komuniti online," katanya.

Najib berkata beliau sendiri berhasrat untuk mengetuai satu perbincangan meja bulat Julai nanti untuk mendapatkan pemikiran orang ramai bagi Belanjawan Negara 2012 sama seperti yang telah beliau lakukan melalui blog ini dalam penyediaan dua belanjawan yang lalu.

Sebelum mengakhiri blog ini, Najib dalam nada ceria menulis: "Encik Shebby Singh – "bola berada di kaki anda untuk sepak mula" dalam topik pertama perbincangan "Meja Bulat 1Malaysia" yang julung kalinya diadakan secara online dengan tajuk : "Memupuk Gaya Hidup yang Sihat di Peringkat Sekolah". - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan