Tian Chua Dakwa E-Mel Palsunya Tersebar

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pada Khamis mendakwa seorang individu telah menggunakan identiti beliau untuk menghantar e-mel palsu kepada wakil rakyat pembangkang kononnya pelaku dalam video seks yang disebarkan sememangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata perkara tersebut jelas menunjukkan tindakan terdesak pihak tertentu menjatuhkan Pakatan Rakyat.

“Tindakan seperti ini jelas menunjukkan ada pihak yang rendah moral serta terdesak sehingga sanggup menyamar identiti menggunakan identiti saya.

“Ini satu kesalahan yang serius. Semua bukti ada dan e-mel yang digunakan juga palsu. Saya lihat tidak mustahil untuk dijejaki orang yang sebarkan e-mel palsu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Khamis.

Beliau mendakwa individu tersebut telah menggunakan e-mel palsu, ‘tianchua@rocketmail.com’ untuk menghantar maklumat palsu kepada akaun e-mel 16 wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Justeru, Tian Chua berkata beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat berhubung perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin pula mendedahkan beliau menerima salinan video seks yang didakwa melibatkan Anwar.

Zuraida mendakwa ia dikirim menggunakan sampul dan dimasukkan ke dalam peti surat rumahnya di Ampang, pagi Khamis.

“Polis perlu menyiasat perkara ini namun sehingga hari ini mereka masih gagal untuk menangkap orang yang menyebarkan video seks ini,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan