Penjelasan Konsisten Mampu Hapuskan Persepsi Negatif Terhadap SPRM

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persepsi negatif terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu dihapuskan jika penjelasan mengenai usaha suruhanjaya itu membanteras rasuah kepada masyarakat dilakukan secara konsisten dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Zakaria Jaafar melahirkan keyakinan melalui pendekatan itu, masyarakat akan lebih memahami dan memberikan kerjasama yang lebih baik kepada SPRM.

Menurutnya, pendekatan berkenaan telah menampakkan hasilnya apabila jumlah tangkapan dan pertuduhan yang direkodkan sepanjang tahun lepas meningkat sebanyak 88 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

"Apakah ertinya? Maknanya, masyarakat kita telah memberikan kerjasama yang begitu baik kepada SPRM. Tanpa kerjasama rakyat, SPRM tidak mungkin mendapat maklumat berkualiti.

"Hanya dengan mendapat maklumat berkualiti, barulah kita boleh laksanakan tugas dengan berkesan. Dalam erti kata lain, sokongan masyarakat adalah cukup penting dalam hal ini," katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

Zakaria bagaimanapun mengakui, harapan masyarakat terhadap SPRM adalah cukup tinggi dan memberi jaminan SPRM akan memainkan peranannya dengan sebaik mungkin mengikut undang-undang dan peruntukan sedia ada.

SPRM, tegasnya, akan lebih proaktif dengan mencari maklumat penting mengenai perlakuan rasuah dan tidak hanya menunggu aduan daripada rakyat semata-mata.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, isu rasuah tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana rasuah bukan suatu isu politik dan percaya usaha pembanterasan rasuah hanya akan berjaya sekiranya semua pihak berganding bahu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan