Kerajaan Selangor Akui Tangguh Kontrak 50 Kontraktor Pelupusan Sampah

Diterbitkan: Rabu, 8 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pada Rabu mengakui menangguhkan kontrak 50 kontraktor bagi operasi pelupusan sisa pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan penangguhan kontrak berkenaan dibuat selaras dengan pembaharuan iaitu mengasingkan operasi pelupusan sisa pepejal dan pembersihan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Alam Flora.

"Kerajaan negeri telah buat keputusan sebelum ini iaitu operasi pengumpulan dan pelupusan sampah di kawasan PBT adalah di bawah Alam Flora. Namun, bagi operasi pembersihan seperti longkang, taman dan sebagainya adalah di bawah jagaan dan pengurusan PBT.

"Namun, bagi kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pelupusan dan kutipan sampah mengatakan mereka telah diberikan kontrak oleh PBT sehingga tahun 2013, saya tidak tahu kerana mereka sebenarnya adalah di bawah tanggung jawab Alam Flora, bukannya PBT," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kedudukan kira-kira 50 daripada 61 kontraktor yang memperoleh kontrak kutipan sisa pepejal bagi tahun 2011 hingga 2013 secara tender mungkin menghadapi risiko bankrap apabila kontrak mereka ditangguhkan tanpa sebab munasabah.

Pada 17 Februari lalu Abdul Khalid mengumumkan penangguhan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan