MAS Tetap Fokus Sasaran Untung Yang Ditetapkan

Diterbitkan: Selasa, 7 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Malaysia Airlines Systems Bhd atau MAS akan kekal berdaya tahan walau pun berhadapan persekitaran mencabar dan tidak akan mengubah sasaran keuntungan operasinya antara RM300 dan RM600 juta bagi tahun ini.

Pengarah Urusannya, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, syarikat itu perlu menghadapinya dan memastikan paras pertumbuhannya yang ditetapkan selari dengan profil kos dan perolehan.

"Paras harga minyak yang tinggi yang berpanjangan akan memberi kesan terhadap kami seperti ia memberi kesan terhadap syarikat penerbangan lain," katanya pada taklimat media di luar Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia di sini.

Tengku Azmil mengulas mengenai pengumuman IATA semalam bahawa ia memotong unjuran keuntungan industri penerbangan bagi tahun ini sebanyak 54 peratus kepada AS$4 bilion, daripada AS$8.6 bilion, yang diunjurkan pada Mac berikutan bencana alam semula jadi di Jepun, ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan Afrika Utara serta peningkatan mendadak harga bahan api.

"Kami juga tidak terlepas dan kami tentunya menyaksikan kesan negatif berikutan harga bahan api yang tinggi," katanya.

Untuk menghadapi keadaan itu, Tengku Azmil berkata syarikat penerbangan itu telah mengambil langkah yang tiada beza dengan syarikat penerbangan lain bagi mengawal harga bahan api.

"Kami tidak boleh mengawal harga bahan api," katanya. sambil menyatakan bahawa MAS telah menyelaraskan surcaj bahan api seperti yang sepatutnya dengan kenaikan harga bahan api.

"Jadi, kami masih lagi mengejar, dan ia agak sukar, tetapi kami juga melakukan lindung nilai. Sebagai contoh, kami melindung nilai kira-kira 25 peratus (daripada keperluan) bagi tahun ini," katanya.

Mengenai trafik syarikat penerbangan global, katanya walau pun ia telah meningkat 11 peratus, kenaikan harga bahan api memberi kesan negatif kepada keuntungan.

Semalam, Malaysia Airlines mengumumkan bahawa ia telah menyertai oneworld, iaitu gabungan syarikat penerbangan berkualiti yang utama.

Tengku Azmil juga berkata, pihaknya memerlukan banyak masa dan perlu melakukan lebih banyak usaha lagi sebelum sebarang perbezaan ketara dapat dilihat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan