Lawatan Najib Perkukuh Hubungan Dan Perbaharui Minat Terhadap Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 7 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASTANA: Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kazakhstan bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala dan membuka bidang kerjasama yang baru tetapi juga memperbaharui minat tentang Malaysia di kalangan ramai di republik Asia Tengah ini yang mempunyai 16 juta penduduk.

Ramai di kalangan 700,000 penduduk ibu negara ini menyedari mengenai lawatan Perdana Menteri Malaysia dan delegasinya.

Wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan dan kira-kira 250 rakyat Malaysia yang datang ke ibu negara ini untuk menyertai Forum Ekonomi Islam Dunia kali ke-7 (WIEF) juga dihujani dengan soalan mengenai Najib dan Malaysia.

Beberapa wartawan yang membeli kad telefon tempatan di pusat beli belah di sini juga terkejut apabila ramai yang menyedari kehadiran mereka mengajukan soalan "Malaysia?" dan menunjukkan tanda bagus memandangkan mereka tidak dapat berkomunikasi akibat perbezaan bahasa.

Jalur Gemilang berkibar di kiri kanan lokasi strategik di sekitar bandar dan berita mengenai majlis sambutan rasmi yang diberikan kepada Najib di Istana Presiden 'Akorda' ke udara semasa waktu puncak di pelbagai stesen televisyen dan berita dan gambar-gambar majlis itu dimuatkan dalam hampir kesemua akhbar tempatan.

Semasa sidang akhbar semalam, Presiden Nazarbayev banyak memberi penghargaan kepada Najib dan Malaysia atas sumbangan ke arah meningkatkan ekonomi bukan sahaja bagi orang Islam tetapi juga masyarakat dunia terutama negara-negara membangun dan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Nazarbayev berkata Kazakhstan yang akan mengambil alih kerusi pengerusi OIC bulan ini, berharap untuk belajar dan mendapat panduan yang berharga daripada pengalaman Malaysia sebagai pengerusi yang lepas dan anggota aktif kumpulan itu.

"Malaysia telah menjadi negara contoh dan ikutan di kalangan banyak negara membangun dan lebih dikenali sebagai Harimau Asia," katanya sambil menambah bahawa beliau meletakkan kepentingan lawatan Najib itu bagi merintis jalan yang lebih jauh dalam hubungan dua hala antara Kazakhstan dan Malaysia.

Beliau juga menyebut mengenai sumbangan ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kepada pembangunan Malaysia.

Beliau berkata Astana, ibu negara dan bandar raya utama kedua terbesar di Kazakhstan hampir menyamai Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia dan bahawa Kazakhstan sangat ingin mempelajari dari kejayaan Malaysia yang begitu dinamik dalam perbankan dan kewangan Islam.

Sebenarnya, bagi menggambarkan penghargaannya terhadap Malaysia, Presiden Nazarbayev telah meminta Najib mendapatkan sebuah syarikat Malaysia untuk melabur dalam membina sebuah hotel mercu tanda di ibu negara ini yang menonjolkan seni bina dan budaya Malaysia agar rakyat Kazakhstan bersama-sama menghargainya.

Medet Ali Babulakov, 43, seorang pemandu kereta sewa apabila diberitahu mengenai permintaan Presidennya itu berkata ia merupakan pilihan bijak yang akan memastikan bahawa Malaysia akan sentiasa berada di mata penduduk Astana dan berharap agar ia dekat di hati mereka juga memandangkan projek seperti itu akan menghasilkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Bercakap melalui seorang penterjemah, Babulakov berkata beliau mungkin tidak banyak mengetahui mengenai Malaysia kerana kebanyakan masanya beliau berada di jalan raya tetapi anak lelaki sulungnya telah pun menyatakan niatnya untuk melanjutkan pengajiannya di kolej di Malaysia dalam jurusan hospitaliti dan pengurusan hotel, program yang diketahuinya daripada rakan-rakan dan melalui pembacaan.

Bagi Altai Zhanbolat, 20, yang bekerja sambilan di sebuah kafe di lapangan terbang Ali Khan di Almaty, sebuah pusat transit untuk penerbangan dua kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Astana, beliau banyak mendengar mengenai keindahan Malaysia dan berharap mampu untuk melawat negara itu suatu hari nanti.

"Saya juga ingin belajar cara memasak makanan Asia di Kuala Lumpur kerana saya bercadang membuka sebuah restoran sendiri di sini satu hari nanti, makanan halal. Banyak sekolah seperti itu di sana, bukan?" katanya dalam bahasa Inggeris yang tidak tersusun.

Bagi Zhanbolat dan anak Babulakov, harapan mereka mungkin tinggal impian tetapi bukan bagi kira-kira 2,000 pelajar Kazakhstan lain yang bertuah yang kini sedang melanjutkan pelajaran mereka dalam pelbagai bidang di Malaysia.

Kazakhstan dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1992, tetapi hubungan dua hala itu menjadi dingin selepas era Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tidak banyak jumlah dagangan dua hala direkodkan dan begitu juga dalam hubungan antara rakyat dengan rakyat.

Bagaimanapun, sejak dua tahun lepas, bilangan rakyat Kazakhstan melawat Malaysia meningkat tiga kali ganda daripada kurang 5,000 pada 2009 kepada kira-kira 15,000 sepanjang tahun lepas berikutan penerbangan terus mingguan yang diperkenalkan oleh Air Astana, syarikat penerbangan nasional Kazakhstan, antara Almaty dan Kuala Lumpur.

Bagi tahun ini, pejabat Tourism Malaysia bagi rantau ini, yang berusaha hasil lawatan positif Najib, pertama kali oleh Perdana Menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir pada 1996, yakin sasaran lebih besar ketibaan 20,000 dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur dapat dicapai.

Pengarah Tourism Malaysia bagi Rusia dan negara-negara bebas Komanwel (CIS) yang berpangkalan di Moscow, Noridah Kamaruddin berkata maklum balas yang diterima pejabatnya di Almaty menunjukkan bahawa semakin banyak pertanyaan serius dari rakyat tempatan mengenai tempat tarikan pelancong di Malaysia dan Tourism Malaysia sedang bekerjasama dengan ejen syarikat pelancongan tempatan bagi mempromosikan Malaysia di sini.

Ramai di kalangan penduduk tempatan ketika ditanya apa yang ingin mereka lihat di Malaysia, menyebut antara lain mengenai keunggulan Islam, yang mana mereka percaya telah membawa Malaysia muncul sebagai sebuah daripada negara-negara Islam yang paling maju, keharmonian kaum di kalangan penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama dan sudah tentu dengan keindahan pantai di samping sifat ramah tamah rakyat Malaysia.

Najib dan delegasi Malaysia mungkin kembali ke tanah air pada Khamis dan sudah pasti mereka akan meninggalkan tanggapan baik yang berpanjangan mengenai sebuah negara yang terletak begitu jauh yang mana kepada Kazakhtan sentiasa merupakan sebuah negara sahabat.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan