Industri Gas Tempatan Berdepan Cabaran Pastikan Gas Asli Pada Harga Pasaran

Diterbitkan: Selasa, 7 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Industri gas tempatan berdepan dengan cabaran untuk membolehkan gas asli berada pada harga pasaran memandangkan industri mempunyai masa depan yang cerah, kata Presiden Persatuan Gas Malaysia dan Kesatuan Gas Antarabangsa, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

Beliau berkata subsidi kerajaan bagi gas tidak boleh bertahan dalam jangka panjang.

"Jika diberi subsidi sepanjang masa, ia tidak bertahan untuk jangka panjang. Jadi, harga perlu mengikut harga pasaran dan cabarannya ialah bagaimana ini boleh dilakukan," kata beliau kepada Bernama, selepas mempengerusikan sesi "Gas Konvensional berbanding Gas Bukan Konvensional" pada persidangan Minyak dan Gas Asia ke-16 di sini, Selasa.

Beliau berkata harga gas asli perlu mengikut pasaran dalam masa lima tahun akan datang.

"Kajian terhadap harga gas setiap enam bulan dan subsidi dinaikkan secara beransur-ansur bagi mengurangkan kesan, merupakan antara cara harga boleh beradaapada paras pasaran," katanya.

Semasa ditanya mengenai permintaan semasa bagi gas, beliau berkata kedudukannya lebih banyak permintaan berbanding bekalan.

"Tetapi disebabkan oleh gangguan pasaran, agak sukar menentukan masa ada permintaan yang sebenarnya atau dipacu oleh harga yang dibuat-buat.

"Oleh itu, agak sukar untuk menentukan permintaan semasa. Sekiranya harga berada pada paras pasaran, barulah boleh menentukan keadaannya," jelas beliau.

Abdul Rahim berkata projek loji pengegasan semula di Malaysia akan membantu harga gas kepada harga pasaran.

"Projek pengegasan semula ini akan tentunya membantu. Akan terdapat lebih banyak gas di pasaran dan pada masa yang sama, membolehkan pihak ketiga mengakses. Jadi, adalah baik untuk mempunyai kemudahan sedemikian," jelas beliau.

Petronas Gas Bhd melaksanakan loji pengegasan semula gas asli cecair (LNG) pertama Malaysia pada RM3 bilion di Melaka manakala projek kedua untuk kompleks minyak dan gas hiliran bersepadu di Pengerang, Johor.

Baru-baru ini, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan menetapkan penanda aras yang lebih baik bagi penetapan harga gas asli, daripada hanya menggunakan harga minyak bahan api sebagai penanda aras untuk harga pasaran.

Menurut FMM, persekutuan mengakui gas asli perlu bergerak kepada harga pasaran terutamanya dengan jangkaan liberalisasi bekalan gas asli melalui import pihak ketiga apabila pembinaan loji pengegasan semula Melaka siap pada 2012.

Abdul Rahim berkata negara tidak seharusnya bergantung kepada satu bahan api tetapi pelbagai sumber tenaga bersama-sama arang batu, minyak dan gas dalam menangani isu keperluan tenaga dalam negara.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan