Harga Barang Boleh Disemak Menerusi Portal

Diterbitkan: Selasa, 7 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengguna kini boleh mendapatkan maklumat tentang harga barangan yang dijual di 1,255 premis perniagaan melalui portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) yang akan mengemas kini sebarang perubahan harga secara harian.

Portal itu akan juga dipantau oleh seramai 1,200 pegawai pemantau harga (PPH) dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan peniaga yang mengambil bahagian menjual barangan mereka pada harga yang berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata premis yang mengambil bahagian melibatkan 110 buah hipermarket, 404 pasar raya, 360 pasar basah dan 381 Kedai Serbaneka 24 Jam.

Sejumlah 355 jenis barangan di hipermarket akan dipantau melalui portal berkenaan, 100 jenis di pasar raya, pasar basah (50 jenis) dan kedai serbaneka (100 jenis), katanya.

"Bagi hipermarket, mereka sendiri akan key-in data perubahan harga manakala bagi premis-premis lain pegawai PPH akan menjalankan tanggungjawab mereka. Sekiranya ada perubahan harga, maka mereka (pegawai PPH) akan maklumkan menerusi portal ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal berkenaan di sini Selasa.

Portal tersebut boleh dilayari di www.1pengguna.com. Antara harga barangan keperluan harian yang dipamerkan pada portal berkenaan ialah barangan keperluan dapur seperti ayam, ikan dan hasil laut, kicap, kunyit dan makanan kering.

Pembangunan fasa pertama portal itu melibatkan kos RM1.4 juta. Ia merupakan saluran alternatif kepada pengguna untuk mendapatkan perbandingan harga semasa selain menjadi saluran untuk membincangkan isu-isu kepenggunaan secara interaktif.

Ismail Sabri berkata bagi fasa kedua, pemantauan ke atas kedai runcit dan pasar mini akan dimasukkan ke dalam portal berkenaan.

"Untuk fasa kedua, kita tengok dulu respons pengguna daripada portal ini, selepas itu baru kita akan lancarkan fasa kedua dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata pengguna juga boleh membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menerusi ruang yang disediakan di dalam portal berkenaan.

Untuk rekod, hampir 6,000 aduan telah difailkan pengguna kepada TTPM pada tahun lepas dengan 98 peratus daripadanya berjaya diselesaikan, katanya.

Sehingga Mei tahun ini pula sejumlah 4,400 aduan telah dilaporkan kepada TTPM, katanya sambil menambah bahawa ia menunjukkan bahawa kesedaran pengguna mengenai hak mereka semakin meningkat.

Dalam ucapan perasmiannya, Ismail Sabri berkata pengenalan portal berkenaan adalah bersesuaian dengan trend komunikasi dan eksplorasi maklumat pada masa kini.

"Terdapat peningkatan di dalam bilangan pengguna Internet di Malaysia iaitu daripada 15.8 juta pengguna pada tahun 2009 kepada 16.5 juta pada tahun 2010 dan bilangan ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun iaitu sehingga 17.5 juta pengguna internet menjelang tahun 2015," katanya.

Ismail Sabri berkata kewujudan portal berkenaan diharapkan dapat meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian di samping merapatkan hubungan kerajaan dengan rakyat.

"Adalah diharapkan melalui pembangunan portal 1Malaysia Pengguna Bijak ini, ianya akan memberikan kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan `first hand information' mengenai perkembangan harga terkini barangan keperluan pengguna di seluruh negara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan