Malaysia Akan Bantu Kazakhstan Dengan Lima Projek 'Signature' - Najib

Diterbitkan: Isnin, 6 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASTANA (Kazakhstan): Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang melakukan lawatan rasmi ke Kazakhstan, hari ini berkata Malaysia akan melaksanakan lima projek 'signature' bagi membantu negara Asia Tengah ini seperti yang diminta oleh pemimpin tertinggi Kazakhstan.

Perdana Menteri berkata projek-projek yang dianggap sebagai 'signature' itu ialah perbankan Islam; minyak dan gas; penternakan lembu; penjanaan elektrik; dan projek mercu tanda sebuah hotel bercirikan senibina serta kebudayaan Malaysia di ibu negara Kazakhstan ini.

Beliau berkata pada perjumpaan dengan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev dan Perdana Menterinya Karim Massimov, kedua-dua pemimpin itu meminta Malaysia mengenal pasti projek-projek mercu tanda itu bagi menjadi perintis untuk mendorong penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak di kedua-dua negara.

"Antaranya ialah dalam bidang perbankan Islam di mana pada prinsipnya mereka bersetuju supaya kita melabur dalam sebuah bank Islam di Kazakhstan, di samping itu kita memberi peluang latihan kepada rakyatnya dalam kepakaran perbankan Islam," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di sini, Isnin.

Beliau menerima baik cadangan pemimpin Kazakhstan itu dan akan disusuli segera dengan kemungkinan menentukan pihak tertentu dari Malaysia yang akan membuat pelaburan itu.

Najib berkata kerajaan Kazakhstan jelas berminat mencari jalan bagaimana hubungan dua hala dengan Malaysia boleh diperluaskan meliputi bidang-bidang yang belum lagi diusahakan dan diterokai antara kedua-dua negara.

"Ini memandangkan potensi yang wujud belum dapat direalisasikan sepenuhnya," katanya, yang memetik perangkaan perdagangan dua hala yang berjumlah US$30 juta (RM90 juta) pada 2009 yang walaupun meningkat kepada lebih US$100 juta (RM300 juta) pada 2010, tetapi angka sebenarnya masih rendah dan perlu ditingkatkan lagi.

Beliau berkata dalam bidang minyak dan gas pula, Kazakhstan pada prinsipnya ingin Petronas melabur di sini dan di samping itu syarikat minyak Kazakhstan dapat ikut menyertai pelaburan oleh Petronas di negara-negara lain.

"Dalam bidang pertanian pula, hari ini kita telah menyaksikan penandatanganan satu memorandum persefahaman (MoU) antara sebuah syarikat Malaysia untuk mengusahakan ternakan lembu di sini dan hasilnya dapat dibawa ke Malaysia untuk menjadikan Malaysia hub halal di kawasan kita untuk dieksport dagingnya ke negara-negara lain, selain untuk kegunaan kita sendiri," katanya.

Dalam bidang penjanaan tenaga elektrik pula, beliau berkata sebuah syarikat dalam Kumpulan Genting sudah memulakan rundingan untuk menjadi pengeluar tenaga bebas (IPP) bagi menjana 200 megawat elektrik di sini.

Najib berkata projek 'signature' kelima ialah pembinaan sebuah hotel di sini, yang dicadangkan oleh Presiden Nazarbayev yang mahu ia mencerminkan senibina Malaysia sebagaimana yang sudah dilakukan oleh beberapa negara lain yang mencerminkan senibina masing-masing.

Perdana Menteri berkata Presiden Nazarbayev mahu hotel itu menjadi mercu tanda penglibatan Malaysia dalam pembangunan bandaraya Astana di samping turut melambangkan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Kazakhstan.

Katanya antara bidang lain ialah pembinaan di mana sebuah MoU telah ditandatangani oleh sebuah syarikat Malaysia untuk menjalankan projek pembinaan dan persetujuan Malaysia dan Kazakhstan untuk menubuhkan majlis perniagaan kedua-dua negara.

Menjawab satu soalan, Najib berkata sekiranya pelabur dan pengusaha dari negara lain boleh berjaya di sini, tidak ada sebab pelabur dari Malaysia tidak boleh berjaya walaupun ada menghadapi sedikit masalah sebelum ini.

Najib pula menawarkan kepada Kazakhstan yang berhasrat mengeluarkan Sukuk Sovereign supaya melancarkannya di Malaysia memandangkan 80 peratus daripada sukuk antarabangsa telah dikeluarkan di Malaysia sepanjang tahun ini. Beliau juga menyebutkan bahawa sebuah syarikat simen yang sebahagian sahamnya dimiliki oleh syarikat Malaysia dan disenaraikan di London telah beroperasi di sini sejak 1998 dengan menguasai 30 peratus pasaran di sini.

Mengenai kemungkinan syarikat penerbangan dari Malaysia mengadakan penerbangan terus ke Almaty di selatan Kazakhstan untuk lebih mengeratkan hubungan, beliau berkata sekarang syarikat penerbangan Kazakhstan, Air Astana sudah mengadakan penerbangan ke Kuala Lumpur dua kali seminggu dan kemungkinan MAS dan AirAsia terbang ke sini boleh dibincangkan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Datuk Ahmad Rasidi Hazizi turut hadir pada sidang media itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan