Muktamar Tahunan PAS: Perwakilan Kesal Sikap Membisu Mufti Isu Penyebaran Video Seks

Diterbitkan: Ahad, 5 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Golongan ulama termasuk mufti dalam kerajaan dibidas kerana bersikap membisu dan tidak tegas menangani isu penyebaran video seks yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil Kawasan Ipoh Barat, Norazli Musa berkata, tindakan membisu mufti khususnya dalam mengeluarkan fatwa berhubung perkara berkenaan dikhuatiri akan mencemarkan akhlak masyarakat.

"Tindakan menyebarkan video lucah ini jelas bercanggah dengan syariah, saya harap perkara ini dapat dihentikan segera bagi mengelakan ia terus merebak dalam masyarakat.

"Mufti-mufti dan pihak berkuasa agama perlu hentikan perkara ini. Ini tidak... Mufti Perak hanya mufti poco-poco, tentang video seks mereka tak komen," katanya ketika menyokong usul yang dibawa oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada sesi pembentangan usul di sini, Ahad.

Usul berkenaan diluluskan sebulat suara tanpa bahas.

Mac lalu, trio 'Datuk T' mendedahkan video seks membabitkan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada wartawan kanan sebelum tersebar secara meluas di internet.

Salah seorang trio berkenaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah turut bersumpah laknat pada 29 April lalu bahawa pelaku dalam video seks berkenaan adalah Anwar.

Sebelum itu pencadang usul, Fadzil Mohd Noor berkata, PAS juga mengutuk tindakan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membenarkan video seks ditayangkan di media.

"Kita menyedari bahawa fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah SWT kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seorang.

"Tindakan menggunakan video dan media baru sebagai saluran untuk menyebarkan fitnah untuk kepentingan politik adalah lambang keruntuhan tamaddun sebuah negara dan bangsa," katanya.

Seorang lagi penyokong usul berkenaan yang mewakili Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin mendakwa, BN cuba meyakinkan rakyat mengenai kesahihan video berkenaan menggunakan tiga 'cara Islam'.

"Kita lihat bagaimana BN nak yakinkan rakyat agat percaya, mereka gunakan 'cara Islam', mereka 'hiaskan' video itu dengan sumpah.

"Mereka sumpah nama Allah, sumpah gunakan al-Quran, sumpah dalam masjid. Jadi orang kampung yang dibengongkan oleh Umno akan terpengaruh," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan