Muktamar Tahunan PAS: Dasar Parti Tak Berubah, Ulama Penentu Dasar - Mohamad Sabu

Diterbitkan: Ahad, 5 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Walaupun mencipta sejarah dengan memecah dominasi kepimpinan ulama bagi jawatan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu menegaskan tidak akan menjejaskan dasar PAS yang telah ditetapkan Majlis Syura.

Sebaliknya, beliau berjanji melaksanakan perubahan menerusi slogan negara berkebajikan dengan mendekati golongan bukan Islam dalam usaha meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Perubahan dalam kepimpinan pada hari ini tidak akan membawa apa-apa kesan kepada dasar dan hala tuju parti. Cuma gerak kerja yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita di sini Sabtu. Pada pemilihan kali ini beliau menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan memperoleh 420 undi.

Dua tahun lalu, beliau tewas di tangan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok .

Mohamad Sabu berkata, tidak timbul isu wujudnya kumpulan profesional dan ulama dalam PAS kerana masing-masing mempunyai peranan yang jelas dalam kepimpinan parti itu.

"Ulama masih berkuasa sepenuhnya terutama dalam Majlis Syura yang akan mengawal dasar dan disiplin parti," ujarnya.

Sementara itu Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa turut berpendapat tidak wujud masalah pengasingan antara ulama dan bukan ulama selepas sayap kepimpinan tertinggi yang baru diumumkan pagi Sabtu.

"Kepimpinan ulama masih lagi berwibawa di peringkat Majlis Syura manakala tugas PAS Pusat bersifat eksekutif yang tidak melanggar dasar umum ditetapkan," jelasnya.

Husam berkata, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hanya merangka strategi dan tanggungjawab bersifat eksekutif dan teknikal bagi menjayakan perjuangan parti itu.

"Saya rasa bukan masalah profesional tetapi ahli perwakilan memberi kepercayaan kepada anak-anak PAS yang membesar dalam parti itu sejak kecil," katanya.

Tambah Husam lagi, perubahan dalam barisan kepimpinan parti itu dianggap sebagai langkah positif untuk mengukuh dan melakar pelan kemenangan bagi PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13.

"Parti tidak akan terjejas dengan perubahan itu. Ahli-ahli tampak bersatu dan saya yakin kita boleh memberi tawaran kepada rakyat bahawa pimpinan PAS adalah munasabah untuk dipilih menjadi tulang belakang kepada negara," ujarnya.

Ditanya mengenai hala tuju PAS pada pilihan raya umum akan datang, Husam memberitahu mereka akan menurunkan calon yang meyakinkan rakyat bahawa mereka berupaya untuk menggantikan Barisan Nasional (BN).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan