Ibu Rayu Bantuan Bawa Anak Pulang Dari Lombok

Diterbitkan: Ahad, 5 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Seorang ibu memohon bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno bagi membantu membawa pulang anak perempuannya yang berada di Lombok, Indonesia sejak tiga tahun lepas.

Joriyah Ismail, 41, dari Kampung Tengah, Layang-Layang, dekat sini, berkata anak perempuannya, Norhalisa Umno@Mohammad, 23, menghubunginya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira dua bulan lepas yang memaklumkan mahu pulang ke negara ini selepas mengalami hidup susah di Lombok.

"Norhalisa menghilangkan diri dari rumah sejak berumur 19 tahun. Kami puas mencarinya di serata tempat dan menghubungi kawan-kawannya, bagaimanapun, usaha itu gagal sehinggalah saya diberitahu dia (Norhalisa) berada di Lombok melalui SMS yang dikirimkannya dua bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas memohon bantuan kepada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhamad Khairun Aseh, di sini, petang Sabtu.

Joriyah yang ditemani suaminya, Yunus Mat Zin, 45, berkata Norhalisa memberitahu bahawa beliau berada di Lombok sejak tiga tahun lepas selepas berkahwin dengan seorang lelaki bergelar "Man" dan kini memiliki seorang anak lelaki berumur satu tahun setengah.

Menurutnya, Norhalisa menerusi beberapa SMS berikutnya memberitahu beliau bahawa anaknya itu tidak bekerja manakala "Man" pula meninggalkannya selepas mendapat pekerjaan di Brunei.

Dalam SMS itu, Norhalisa juga memberitahu hubungannya dengan ibu dan bapa mertua tidak baik dan beliau kini terpaksa menumpang di rumah seorang rakan di Gunung Mujur, Desa Bujak, Kecamatan Batukliang selepas bergaduh dengan mereka.

"Sudah beberapa kali dia minta saya bantu dia balik ke Malaysia. Walaupun saya tahu anak saya melakukan kesilapan tetapi ibu mana yang tidak risau bila anaknya menderita. Saya mohon mana-mana pihak supaya dapat membantu kerana kami orang susah," katanya yang bekerja kilang.

Sementara itu, Muhamad Khairun berkata pihaknya dan Umno Bahagian Simpang Renggam akan berusaha mencari jalan membawa pulang Norhalisa ke pangkuan keluarga.

"Oleh kerana Norhalisa masuk ke Lombok ketika berusia 19 tahun, maka dia tidak lagi boleh dianggap dilarikan ke sana dan tidak dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak. Dia melakukan kesalahan kerana memasuki Indonesia secara haram yang mana boleh dihukum penjara enam tahun atau denda 30 juta Rupiah," katanya.

Muhamad Khairun berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Indonesia dan membuat rayuan supaya Norhalisa dapat dibebaskan dari penjara kelak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan