Kebangkitan Bukan Ulama Dalam PAS

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPUTUSAN pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat menyaksikan gelombang kebangkitan kumpulan Erdogan menguasai sebahagian besar kepimpinan baru parti itu selepas era kepimpinan ulama sekitar 80an.

Daripada 23 senarai kepimpinan baru PAS bagi sesi 2011/2013, hanya lapan daripadanya adalah dikalangan golongan ulama.

Ia sekaligus mencatat sejarah apabila kepimpinan ulama ditolak oleh perwakilan PAS yang menjalankan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian yang berlangsung pada Jumaat.

Penguasaan kumpulan Erdogan dilihat begitu ketara pada peringkat kepimpinan tertinggi apabila jawatan timbalan presiden dan ketiga-tiga pemenang jawatan naib presiden dimenangi oleh kumpulan berkenaan.

Mohamad Sabu, seorang aktivis PAS yang dilihat mendapat sokongan daripada penyokong kumpulan Erdogan berjaya dalam percubaan kali keduanya bagi jawatan timbalan presiden apabila mendapat 420 undi menewaskan penyandang jawatan itu sebelum ini, Nasharudin Mat Isa yang hanya mendapat 224 undi.

Kekalahan Nasharuddin sebagai wakil kumpulan ulama juga mencatat sejarah tersendiri selepas 20 tahun apabila jawatan berkenaan kini bertukar tangan kepada pemimpin dikalangan bukan berlatarbelakangkan agama.

Ia juga jelas menggambarkan kumpulan Erdogan yang dilihat menyokong hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat menolak idea kerajaan perpaduan dengan Umno yang dikaitkan dengan Nasharudin.

Bagi jawatan naib presiden, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang terkenal dengan kumpulan Erdogan terpilih dengan mendapat 660 undi di belakang Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayob yang mendapat 753 undi.

Selain itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang turut dikategorikan sebagai proErdogan berjaya mengekalkan kendudukannya apabila memperoleh 616 undi.

Hasrat kumpulan ulama untuk mengekang kebangkitan Erdogan juga gagal apabila wakil yang mendapat 'restu' bagi menyambung legasi ulama iaitu Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Abdullah turut tidak diterima perwakilan Muktamar PAS ke-57 kali ini.

Sementara bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, sekurang-kurangnya lapan daripada 18 yang dipilih adalah di kalangan kumpulan bukan ulama.

Penjenamaan PAS

Senarai baru 'kabinet' PAS ini juga dilihat sebagai proses penjenamaan parti itu ke arah survival yang lebih luas atau dengan kata lain dalam kerjasama antara parti berasaskan Islam itu dengan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Imej baru PAS mungkin akan lebih terserlah terutamanya dengan kedudukan Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan Mat Sabu sebagai 'duta' perhubungan parti dengan pihak luar.

PAS selepas ini mungkin akan lebih liberal terutamanya dalam menjalinkan hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak-pihak yang berada di luar daripada parti itu.

Bagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, 'kabinet' campuran parti itu kini menjadikan parti itu lebih bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar.

"Kita memerlukan pemimpin yang datang daripada pelbagai latar belakang.

"Kita ada doktor, jurutera, serta individu yang rapat dengan NGO, semua ini penting untuk perubahan PAS.

"Kita boleh berubah dari segi strategi, tapi kita tak berubah dari segi dasar...semua pemimpin yang ada ini menyokong dasar dan perjuangan PAS," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan