DAP, PKR Berjaya Pengaruhi PAS Untuk Tukar Prinsip - Mukhriz

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JERLUN: DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah berjaya mempengaruhi PAS sehingga prinsip untuk menubuhkan negara Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sejak sekian lama kini ditukar kepada konsep negara berkebajikan, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata PAS juga dilihat tidak tetap pendirian apabila mengubah prinsip daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan kerana mahu merealisasikan hasrat DAP dan PKR untuk memperjuangkan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

"Tahniah kepada DAP dan PKR kerana telah berjaya mempengaruhi PAS sehinggakan hanya orang-orang mereka sahaja (bukan ulama) yang dipilih menjadi Naib-naib Presiden malah Timbalan Presiden dalam PAS.

"Cukup hebat sekali pengaruh DAP dan PKR dalam PAS. Ini tidak menunjukkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang bebas daripada pengaruh-pengaruh yang sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Siswa Siwi Bersama Rakyat di sini Sabtu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diminta mengulas mengenai keputusan pemilihan PAS hari ini dan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 semalam yang mengetengahkan tema Membangunkan Negara Berkebajikan.

Mukhriz juga berkata keputusan pemilihan PAS itu langsung tidak menggambarkan sokongan ahli-ahli atau perwakilan PAS terhadap golongan ulama dalam PAS.

"Pada mulanya saya rasa terharu dan gembira apabila saya mendengar ucapan-ucapan dari Dewan Ulama PAS, tetapi hari ini perasaan gembira itu bertukar menjadi bimbang dan sedih kerana golongan itu (ulama) dipinggirkan dan sekaligus membuang prinsip penubuhan negara Islam," katanya.

Golongan ulama PAS yang diwakili Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden kepada Mohamad Sabu.

Jawatan Naib Presiden juga dikuasai oleh golongan bukan ulama apabila Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar menang dalam pertandingan enam penjuru.

Mukhriz berkata pembentukan negara berkebajikan yang diumumkan oleh Abdul Hadi sebenarnya telah diperjuangkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lagi.

"Kalau tidak perhatian dan kebajikan rakyat, tidak mungkin kita boleh mencapai pada tahap yang begitu membanggakan. Jadi bab kebajikan itu sudah menjadi pegangan dan perjuangan kepimpinan BN dan Umno dari dulu lagi," katanya.

Beliau berkata walaupun PAS tidak mahu mengadakan kerjasama politik dengan Umno, tetapi usaha untuk perpaduan itu tetap Umno teruskan.

"Itu sudah menjadi tekad kita dan kita tak akan ubah pendirian kerana perpaduan itu adalah satu yang dituntut oleh agama dan kita akan tetap laksanakan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan