Analisis: Kumpulan Ulama 'Kena Langgar' Dalam Pemilihan PAS Pusat

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jika cuaca panas membelenggu sekitar Taman Melewar Gombak di mana pemilihan PAS diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), suasana dalam dewan itu tidak kurang panasnya apabila keputusan pemilihan kepimpinan PAS Pusat diumumkan pada Sabtu.

Berbeza dengan pemilihan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang dicengkam kumpulan pro-ulama, PAS pusat pula menunjukkan pilihan perwakilan memberi lebih sokongan kepada kumpulan profesional dan Erdogan atau lebih tepat lagi memihak kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemidato terkenal Mohamad Sabu, 56, yang selama ini menjadi ayam tambatan PAS, berjaya menumpaskan dua lagi pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu penyandang Nasharuddin Mat Isa dan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kemenangan Mohamad, dalam percubaan kali keduanya sebagai timbalan presiden selepas pemilihan 2009 adalah berbeza dengan ketetapan PAS dalam konsep kepimpinan ulama yang diperkenalkan pada tahun 1980-an.

Dalam perebutan kerusi nombor dua itu, terang-terang menunjukkan sokongan perwakilan kepada kumpulan ulama berpecah dua, satu kepada Nasharuddin manakala satu lagi kepada Tuan Ibrahim yang akhirnya memberi kemenangan kepada Mohamad.

Ini bukan rahsia malah diakui oleh Mohamad sendiri sebagai calon, yang pada masa pencalonan kira-kira sebulan lepas sudah mendapat pencalonan yang tinggi berbanding kedua-dua pencabarnya.

"Saya bernasib baik kerana undi itu berpecah dua, cerita akan berbeza sekiranya pertandingan satu lawan satu," katanya kepada pemberita selepas keputusan diumumkan oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Tuan Ibrahim, yang pada mulanya berkali-kali menolak menjadi calon timbalan presiden akhirnya membuat pusingan U dengan bertanding mungkin membuat keputusan yang silap.

Walaupun mempertahankan keputusan untuk bertanding disebabkan sokongan akar umbi, sumber dalaman parti berpendapat Tuan Ibrahim bertanding atas desakan dan `wahyu' pimpinan tertinggi parti yang memberi restu.

"Peluang Tuan Ibrahim mungkin lebih baik (untuk menang) sekiranya beliau hanya mempertahankan naib presiden," katanya kepada Bernama.

Susun atur ketua penerangan PAS, Idris Ahmad, bertanding jawatan naib presiden boleh dilihat sebagai `cagaran' kumpulan ulama selepas Tuan Ibrahim membuat keputusan bertanding.

Faktor lain yang boleh dianggap punca kemenangan ialah sokongan pengundi muda yang mungkin selesa dengan Mohamad dan Tuan Ibrahim, yang masih boleh dikira baru dalam perjuangan PAS sejak 12 tahun lepas berbanding Mohamad, manakala Nasharuddin ditolak terus kerana dikaitkan dengan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Ini bermakna, Tuan Ibrahim mungkin ada masa lagi untuk naik dalam hierarki parti, terutama dalam muktamar dua tahun dari sekarang.

"Saya sifatkan (kepimpinan ulama) tidak agresif menjadi punca utama golongan ulama diganti. Tetapi perubahan ini tidak akan menjejaskan PAS," kata timbalan ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud.

Penguasaan kumpulan bukan ulama sangat jelas dalam perebutan enam penjuru jawatan naib presiden iaitu kemenangan berpihak kepada dua penyandang Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar buat penggal kedua. Anggota exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa, pula kembali semula dalam senarai naib presiden selepas kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden pada pemilihan dua tahun lepas.

Kumpulan ulama tewas iaitu ketua penerangan Idris Ahmad, exco negeri Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah mungkin hanya menyerikan pertandingan manakala pemimpin PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dikatakan mewakili kumpulan profesional juga tumpas.

Di peringkat jawatankuasa pusat pula, muka-muka yang dikaitkan dengan kumpulan Erdogan menang 10 daripada 18 yang dipilih juga daripada kelompok Erdogan atau cenderung kepada kepimpinan Mohamad.

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tanpa berselindung mahukan wakil Kelantan dalam pucuk pimpinan parti, yang mana akhirnya Husam sebagai wakil walaupun Tuan Ibrahim, yang mempunyai pertalian darah dengannya, tewas.

Oleh sebab itu, kekalahan kumpulan ulama juga mungkin berpunca hasil pilihan Nik Abdul Aziz sendiri.

Bagaimanapun Husam, yang menurutnya membesar dari kecil sehingga dewasa bersama PAS menafikan adanya kumpulan-kumpulan seperti itu kerana bai'ah dan kesetiaan adalah kepada kepimpinan ulama.

"Kami tak rasa pengasingan (kumpulan-kumpulan). Kami adalah satu pasukan yang nak membantu presiden dan kami tidak mempunyai perancangan atau agenda lain kecuali bersama dengan presiden, majlis syura dan dewan-dewan.

"Apa yang penting ialah fokus pada pilihan raya ke-13 untuk menyakinkan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa barisan PAS kukuh dan berketrampilan untuk memberikan satu gantian kepada UMNO untuk menjadi tulang belakang politik negara," katanya.

Idris pula berkata PAS adalah parti yang terbuka, kombinasi ulama dan profesional oleh itu tidak menjadi masalah serta tiada perubahan pun berbanding barisan kepimpinan yang lama.

"Adalah tidak benar mengatakan kemenangan wakil-wakil itu dibayangi Anwar. Itu telahan media sahaja macam pertandingan naib presiden sengit, tetapi mana ada sengitnya, kami masih boleh tidur bersekali...tidak ada masalah. Media yang suka buat telahan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Kolumnis

iklan

Iklan