Siapapun Pemimpin PAS, Imejnya Sama

Diterbitkan: Jumaat, 3 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GELOMBANG kepimpinan ulama bermula pada Muktamar Tahun PAS ke-57 yang rancak berlangsung ketika ini hingga Ahad apabila pada Khamis, anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iatu Nik Abduh terpilih sebagai pemimpin nombor dua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Nik Abduh yang terkenal dengan perwatakan serius memperoleh 260 undi menewaskan penyandang, Azman Shafawi yang mendapat undi paling sedikit iaitu 94 undi dalam saingan empat penjuru.

Terpilihnya beliau memperkukuhkan kedudukan golongan itu - Ketua Pemuda, Nasruddin Hassan mewakili ulama.

Dua lagi calon iaitu Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar dan jurutera, Suhaizan Kaiat masing-masing mendapat 193 dan 107 undi.

Keputusan ini juga mungkin membayangkan siapa yang bakal dipilih oleh 1,100 perwakilan muktamar yang bermula secara rasmi di Taman Melewar, Gombak pagi Jumaat.

Tumpuan

Fokus kini tertumpu kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden dengan penyandangnya, Nasharudin Mat Isa yang dicabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Selepas 1,100 perwakilan selesai menunaikan tanggungjawab mereka pada pukul 4 petang Jumaat, cakap-cakap menyatakan keputusan tidak dapat dijangka sama ada Nasharudin mampu mengekalkan kedudukannya atau Tuan Ibrahim mengambil-alih jika Mohamad Sabu tidak berjaya.

Kumpulan Erdogan kini dikatakan berpihak kepada Mohamad Sabu manakala penyertaan Tuan Ibrahim pula mengakibatkan undi golongan ulama berpecah.

Apapun, debarannya akan terus dirasakan sehinggalah pukul 10 pagi Sabtu apabila Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Rahman memberitahu, keputusan hanya akan diumumkan pada hari dan waktu itu.

Dengan penegasan daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pagi Jumaat, memberi isyarat jelas kepada semua pemimpin dan ahli parti orang Islam terbesar itu bahawa PAS terus menerus menjarakkan diri mereka dari Umno dan Barisan Nasional (BN) terus mematahkan hasrat golongan yang mahu berpadu parti pemerintah.

Tiada tempat untuk Umno dan BN dalam mana-mana bahagian PAS sekali gus menolak hasrat mereka yang beria-ria mahu menyatukan kedua-dua parti berkenaan.

Abdul Hadi juga mahu ulama dalam PAS terus memainkan peranan mereka lebih jitu dan jelas sejajar dengan fiqah politik Islam.

Beliau mahu golongan ulama merancakkan lagi dan terkehadapan dalam memandu arah parti dalam masyarakat.

Pilihan

Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula telah menyatakan bahawa beliau mempunyai pemimpin pilihan tersendiri dan Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din pula mahukan gandingan mantap Abdul Hadi-Nasharudin diteruskan.

Pada hakikatnya, siapapun yang terpilih dalam PAS - profesional atau ulama - mereka akan tetap berpaksikan kepada matlamat yang satu iaitu parti itu mesti di bawah lembayung kepimpinan ulama yang mesti ditaati. Tiada kompromi bagi pemimpin dan ahli PAS dalam soal itu.

Bagi mereka, selagi mana pemimpin yang dipilih taat kepada perintah Allah dan RasulNya maka tiada sebarang bantahan mereka kepada pucuk pimpinan dalam membuat keputusan.

Tiada siapa dapat menafikan kelebihan PAS ialah memiliki ahli-ahli yang patuh kepada pemimpin mereka.

Perpecahan dalam parti pun mereka dapat sembunyikan, di luar mereka kelihatan sangat bersatu hati walaupun jika benar mereka pada hakikatnya berantakan di dalam.

Justeru sama-sama kita nantikan keputusan pemilihan PAS esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan