Muktamar Tahunan PAS: Ulama Perlu Berpegang Kepada Fiqah Politik Islam

Diterbitkan: Jumaat, 3 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Golongan ulama PAS diseru berpegang kepada ajaran berlandaskan fiqah politik agar mampu menterjemah kefahaman Islam mengikut arus politik semasa sekaligus memimpin umat Islam ke arah akidah dan syariat yang sebenar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, golongan ulama adalah golongan paling berpengaruh dalam masyarakat Islam namun masih ramai yang tidak berpegang kepada fekah politik Islam.

"Akibatnya lahir golongan yang mempunyai pendidikan Islam yang lemah, tanpa memahami sejarah serta kelahiran mazhab atau kumpulan yang bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam yang sebenar.

“Golongan ini juga akhirnya gagal memahami ideologi dan teori moden yang bercanggah dengan Islam sehingga terperangkap di dalamnya, menjadikan mereka berilmu, tetapi tidak faqih (faham) lantas gagal menunjukkan jalan yang benar,” katanya ketika berucap menyampaikan ucapan dasar presiden di Markas PAS Taman Melewar di sini, Jumaat.

Abdul Hadi berkata, ada golongan ulama yang tidak memahami kepentingan bersama-sama menegakkan ajaran Allah seperti yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W.

“Ada juga kalangan ulama yang tidak memahami kewajipan menegakkan ajaran Allah yang meneruskan pusaka para Rasul yang berdakwah dan berpolitik.

“Oleh yang demikian, maka anggota Dewan Ulama mestilah berdepan dengan para ulamak yang berdiam diri melihat kemungkaran di hadapan mata, pada hal sekurang-kurangnya mampu mencegah dengan lisan dan tulisan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru golongan Ulama PAS mengumpulkan seberapa banyak ahli dikalangan golongan muda untuk mewujudkan saf ulama muda.

“Langkah Dewan Ulama mewujudkan saf ulamak muda adalah sangat penting bagi memelihara dan melangsungkan perjuangan Islam yang berterusan, dan mereka adalah pemimpin rakyat yang paling berpengaruh.

“Ahli-ahli Dewan Ulama hendaklah menyedarkan rakyat dengan kefahaman politik Islam dan pendekatan yang menarik dan bukan hanya menyampaikan ilmu tanpa kesedaran terhadap bahaya pemikiran yang mereka hadapi. Inilah peranan para ulamak yang dinyatakan oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyeru agar peranan Dewan Ulama diperluas, dengan mendepani isu-isu yang memerlukan ulasan kalangan ulamak terutamanya yang menyentuh suasana semasa yang semakin kompleks.

“Ahli Dewan Ulama juga perlulah terus menerus mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran.

“Komunikasi kontemporari supaya kehadiran mereka dalam masyarakat dan kerajaan yang kita pimpin itu dapat memberi seribu macam natijah yang baik,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan