Muktamar Tahunan PAS: Nasaruddin Ingatkan Kelantan, Kedah Atasi Kelemahan Sebelum PRU-13

Diterbitkan: Khamis, 2 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan PAS Kelantan dan Kedah diingatkan supaya segera mengatasi kelemahan serta memperkukuhkan jentera pentadbiran kerajaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Nasaruddin Hassan Tantawi berkata, kerajaan PAS kedua-dua negeri yang dipimpin oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Kedah perlu sentiasa peka terhadap tuntutan rakyat bagi terutama dalam melaksanakan konsep negara berkebajikan.

"DPP dengan penuh insaf dan prihatin mengingatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan dan Kedah sedang PAS dominan di situ supaya mereka segera mengatasi kelemahan yang ada serta memperkukuhkan saf kepimpinan serta jentera kerajaan.

"Sementara kerajaan Pakatan Rakyat secara umum pula, DPP menegaskan supaya mereka menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dengan penuh tanggungjawab dan amanah," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian Muktamar DPP ke-52 di sini, Rabu malam.

Selain itu Nasaruddin berkata, kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat menunaikan janji-janji pada pilihan raya yang lalu akan membawa padah dan berkemungkinan ditolak rakyat khususnya generasi muda yang akan mencapai lebih 7 juta pada pilihan raya akan datang.

"Semoga peristiwa kalah teruk pada 2004 tidak berulang lagi.

"Komposisi pengundi muda menjadi isyarat awal bahawa kebangkitan anak muda untuk melakukan perubahan sosial, ekonomi dan politik bukan satu perkiraan kosong, sebaliknya ia benar-benar berpotensi untuk meletus," katanya.

Menerusi ucapan bertajuk 'Memimpin Kebangkitan Anak Muda', Nasaruddin turut menegur pemuda PAS di semua peringkat supaya tidak begitu selesa dan leka walaupum berada di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sebaliknya beliau mengingatkan agar pemuda PAS agar sentiasa mendekati masyarakat khususnya golongan muda untuk sama-sama menyokong parti itu.

"Pemuda tidak harus rasa selesa walau berada di negeri yang kita menang. Sebaliknya pemuda mesti memikir beberapa pendekatan baru dengan kepelbagaian aktiviti untuk terus segar dan mekar bersama masyarakat remaja dan anak muda," katanya.

Dalam pada itu, sempena pemilihan PAS peringkat DPP dan Pusat pada muktamar kali ini, Nasaruddin mengingatkan perwakilan agar memilih pemimpin yang ikhlas serta mampu melaksanakan tugas.

"Bukan populariti, bukan 'title' yang ada pada nama dan tidak hanya di nilai pada kepetahan pidato, sebaliknya memilih dan menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang ikhlas, benar, berilmu, mampu melaksanakan tugas dengan baik, berakhlak dan mulia.

"Usah jadikan kesempatan ini untuk bersengketa tetapi jadikan ia sebagai peluang untuk merapat jurang, mengimpal retak dan membina persefahaman dan menyatu fikrah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan