Kerajaan Mansuh Diesel Super Subsidi Untuk Lori Komersial

Diterbitkan: Khamis, 2 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memansuhkan diesel super subsidi yang dinikmati lori komersial berkuat kuasa Rabu kerana beranggapan hanya kenderaan individu dan kenderaan berkepentingan orang ramai sahaja yang wajar menikmati kemudahan tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini bermakna lori komersial perlu membayar RM1.80 seliter diesel berbanding RM1.48 semasa menikmati diesel super subsidi.

"Super subsidi dikekalkan kepada kenderaan yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti bas sekolah, teksi, individu yang membeli enjin bot sangkut dan sebagainya," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Harta Intelek Malaysia di sini Khamis.

Beliau berkata keputusan itu tidak bermakna kerajaan menarik balik subsidi diesel kerana pengusaha lori komersial masih boleh menikmati bahan bakar itu pada harga subsidi RM1.80 seliter.

Katanya harga diesel RM1.80 yang dijual di pam masih disubsidikan oleh kerajaan sebanyak RM1.00 seliter kerana jika tiada subsidi, harga sebenar diesel adalah RM2.80 seliter.

"Ini kita kena faham, jangan kata kita tarik semua subsidi kepada pengusaha lori. Tidak, mereka masih menikmati subsidi RM1.00 seliter. Cuma dulu kita bagi subsidi atas subsidi di mana kita bagi subsidi RM1.00 dan kemudian kita bagi lagi super subsidi sehingga mereka hanya bayar RM1.48," katanya.

Ditanya tentang tindakan pihak pengusaha lori komersial yang ingin menaikkan kos perkhidmatan mereka yang sekaligus boleh menyebabkan kenaikan harga barangan, Ismail Sabri berkata kerajan tidak boleh menghalang keputusan mereka itu.

Katanya kerajaan akan memantau perkara itu dan melihat sejauh mana kenaikan kos pengangkutan memberi kesan kepada harga barangan.

"Kita akan buat simulasi nanti dan akan buat perkiraan, contohnya kalau kenaikan 30 peratus kepada kos pengangkutan berapa kesan kenaikan pada harga barang, kita akan tengok," katanya.

Sementara itu beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kenaikan harga barangan berikutan kenaikan tarif elektrik yang bermula semalam.

Beliau berkata pihaknya akan memantau perkara itu dan memohon orang ramai untuk membuat laporan jika terdapat peniaga yang membuat kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Dari segi simulasi yang dibuat berikutan kenaikan tarif elektrik, ianya memberi kesan terlalu sedikit. Kalau dari segi inflasi hanya 0.27 peratus jadi terlalu kecil dan tidak ada sebab kenaikan (harga barangan) akan berlaku," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan