Kerajaan Terus Berhubung Rapat Dengan Belia Di Malaysia - Najib

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memberi banyak daripadanya masanya sendiri dan kerajaan untuk memastikan hubungan rapat terus terjalin dengan golongan muda serta kalangan belia di negara ini.

Perdana Menteri berkata beliau mempunyai sepenuh kepercayaan terhadap belia Malaysia dan menggesa mereka supaya tidak menoleh ke belakang, sebaliknya memandang jauh ke depan dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.

Najib berkata golongan muda dan belia Malaysia mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan dalam perjalanan Malaysia ke arah mencapai negara maju menjelang 2020 dan usaha berterusan yang dijalankan untuk mentransformasi negara.

"Anda mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan... harus diingat bahawa inilah negara yang akan anda bentuk bagi generasi kini dan akan datang," kata beliau ketika berucap merasmikan sesi pementoran pada Forum Tindakan Belia 2011 di sini Selasa.

Forum Tindakan Belia itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada Himpunan Belia Negara 2011 yang julung kali diadakan oleh myHarapan dan AIESEC Malaysia.

Najib berkata kerajaan dan agensinya membuka ruang kepada golongan muda di negara ini kerana mengiktiraf belia sebagai sebahagian daripada penyelesaian bukan sahaja bagi hari ini tetapi juga hari-hari mendatang.

Beliau berkata suara golongan muda perlu didengari.

"Kita boleh memberi dorongan kepada belia untuk mendekati golongan miskin bandar dan miskin luar bandar... mereka memerlukan bantuan anda," katanya.

Beliau berkata dunia hari ini adalah berbeza dan setiap pihak, termasuk kerajaan, perlu menerima dunia yang sentiasa berubah ini.

"Kita tidak boleh menggunakan kaedah lama yang sama untuk melibatkan diri dengan dunia dan persekitaran baru... kita memerlukan minda yang segar dan terbuka untuk memahami generasi baru yang dilahirkan selepas 1980," katanya.

Selain menyediakan peluang, mereka juga perlu diperkasakan dalam usaha memburu cita-cita mereka, kata Najib.

Setelah menikmati jamuan tengah hari bersama kira-kira 350 pemimpin belia selepas itu, Najib berkata beliau mempunyai tanggapan yang kukuh terhadap 20 mentee berkenaan berdasarkan komitmen, idealisme dan semangat mereka yang berkobar-kobar.

Kata Najib, beliau mendengar dengan teliti pandangan mereka semasa sesi berkenaan, yang berlangsung kira-kira satu jam.

"Mereka mahu membawa perubahan kepada negara kita ini... jadi, tahniah kepada kesemua 20 pemimpin yang mewakili anda semua," kata Najib, yang diberi tepukan hormat sambil berdiri semasa beliau berjalan memasuki dewan besar persidangan.

Sesi pementoran itu adalah strategi perbincangan tertutup bersama Perdana Menteri yang menyentuh isu ekonomi, sosial serta alam sekitar yang mapan dan mereka telah mengemukakan cadangan berhubung perkara berkaitan dasar tertentu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan