Kenaikan Tarif Elektrik 7 Peratus Berkuat Kuasa Rabu

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan tarif elektrik yang baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, bagaimanapun kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang.

"Ini bermakna, 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Selain itu Chin berkata, kerajaan juga memberikan bekalan elektrik percuma kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember tahun ini.

"Kerajaan dijangka akan menanggung kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai bekalan elektrik percuma kepada 900,000 pengguna di Semenanjung," katanya.

Menurut beliau lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah, jumlah 'lifeline band' untuk pengguna domestik akan dikekalkan pada 200kWj sebulan pada kadar unit 21.8sen/kWj.

"Oleh itu tiada kenaikan tarif untuk pengguna 'lifeline band' yang terdiri daripada 3.3 juta pengguna atau 55.4 peratus daripada pengguna domestik," katanya.

Jelas beliau, semakan tarif elektrik ini akan membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan.

"TNB dijangka melabur sebanyak RM4.5 bilion setiap tahun untuk menyediakan dan menaik taraf sistem infrastruktur bekalan elektrik.

"Sesuai dengan semakan tarif asas ini, pihak kerajaan meluluskan pakej penstrukturan tarif yang perlu dilaksanakan oleh TNB seperti menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi 'Thermal Energy Storage (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj," katanya.

Kata Chin lagi, TNB perlu memberi diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan seperti yang diberikan kepada rumah ibadat, institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada sidang media yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut mengumumkan keputusan kerajaan mengenai struktur harga baru bagi gas yang yang dibekalkan oleh Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) kepada sektor elektrik dan industri.

Menurut beliau, gas kepada sektor elektrik dan industri dinaikkan sebanyak RM3.00/milion British thermal unit (MMBtu) setiap enam bulan bermula 1 Jun 2011 hingga Disember 2015.

"Harga gas akan mengikut harga pasaran bermula pada 2016.

"Langkah menyemak semula harga gas ini dibuat secara berperingkat bertujuan menangani isu herotan dalam pasaran serta mengurangkan tanggungan subsidi harga gas oleh kerajaan dan PETRONAS," katanya.

Jelas Nor Mohamed, kenaikan secara berperingkat ini memberi kepastian kepada sektor industri dalam merangka perbelanjaan operasi syarikat.

Katanya, di sebalik kenaikkan berkenaan, kerajaan dan PETRONAS pada 2011 masih lagi menanggung subsidi harga gas yang dianggarkan berjumlah RM25.64 bilion.

"Harga gas terbaru ini masih kompetitif berbanding harga pasaran bahan api alternatif seperti gas petroleum cecair (LPG) dan 'Medium Fuel Oil; yang meningkat daripada USD37.05 setong pada Mac 2009 kepada USD93.98 setong pada suku pertama 2011.

"Keputusan terbaru ini tidak akan menjejaskan daya saing industri tempatan dalam jangka panjang. Sebaliknya ia akan membolehkan sektor industri membuat penyesuaian serta meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan