Kabinet Dijangka Bincang Rayuan Mengenai Biasiswa JPA Rabu

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri akan membincangkan isu mengenai pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mesyuaratnya pada Rabu, termasuk mengenai rayuan supaya kira-kira 86 pelajar cemerlang 9A+ diberi tempat untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dibawa ke Kabinet bagi diputuskan memandangkan permintaan itu akan menyebabkan kuota pemberian biasiswa bagi pengajian di luar negara melebihi kuota yang ditetapkan sebelum ini, iaitu 1,500 tempat.

"Mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju untuk buat rayuan kepada jemaah menteri esok supaya ditimbangkan permintaan bagi 86 pelajar ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung polemik pemberian biasiswa JPA bersama wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) di Parlimen di sini, Selasa.

Pertemuan itu diadakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Mohamed Nazri yang merupakan menteri bertanggungjawab mengenai biasiswa JPA untuk berbincang dengan parti komponen bagi menyelesaikan isu berkenaan yang disifatkan berpunca daripada kekeliruan.

Antara wakil parti komponen yang hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden MIC Datuk S.K Devamany, Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Presiden LDP Liew Vui Keong.

Mohamed Nazri berkata, sekiranya rayuan itu diluluskan bermakna kuota biasiswa JPA bagi pengajian di luar negara tahun ini terpaksa dinaikkan, namun tegasnya ia tidak bermakna kuota itu akan ditambah secara tetap.

"Kita akan lihat berasaskan tahun ke tahun," katanya.

Turut dibangkitkan ialah mengenai tawaran mengikuti kursus matrikulasi yang dikatakan menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar, yang mana menurut Mohamed Nazri akan turut dibawa ke pengetahuan jemaah menteri esok.

"Tawaran untuk mengikuti kursus matrikulasi tahun ini dibuat secara terbuka, tidak dinyatakan secara khusus apa subjeknya. Ini menimbulkan kekeliruan kepada pelajar. Jadi apa yang diminta ialah untuk Kementerian Pelajaran (KPM) kembali kepada cara sebelum ini," katanya.

Mengenai saranan supaya kesemua pelajar 9A+ dan 8A+ yang tidak mendapat tempat ke luar negara ditawarkan kursus matrikulasi dan bukannya diploma, Mohamed Nazri berkata, perkara itu perlu diselaraskan dengan KPM terlebih dahulu.

"Saya dapat jaminan daripada JPA bahawa perkara itu boleh dilakukan, tetapi kita perlu bincang dengan KPM kerana pemberian tempat ini, sama ada matriks atau diploma adalah di bawah bidang kuasa KPM. Asalkan mereka kata semua matrikulasi JPA akan keluarkan biasiswa tidak ada masalah," katanya.

Selain itu, Mohamed Nazri berkata, sebagai langkah mengelak kekeliruan mengenai pemberian biasiswa di masa-masa akan datang, mesyuarat mencadangkan supaya satu taklimat diberikan kepada pihak media untuk menjelaskan mengenai pemberian biasiswa dan jenis-jenis biasiswa yang diberikan sebelum pengumuman mengenainya dibuat. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan