Forex: Pakar Syariah Perlu Perjelas Elak Umat Islam Keliru - Jamil Khir

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan mahu pakar dalam bidang syariah menyelesaikan segera isu berhubung perdagangan pertukaran wang asing (forex) bagi mengelakkan umat Islam terjebak dengan amalan riba ketika menjalankan transaksi semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, satu resolusi untuk menjawab segala persoalan berkaitan isu itu perlu dicapai kerana jumlah umat Islam yang terlibat dengan perdagangan forex meningkat dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, jumlah dagangan harian di pasaran mata wang asing antarabangsa meningkat sebanyak 20 peratus dari AS$3.21 trilion pada 2007 kepada AS$3.98 trilion tahun lalu.

"Industri itu melibatkan umat Islam dengan jumlah yang begitu besar. Oleh itu, idea dan kesepakatan pakar syariah amat diperlukan untuk menangani isu yang masih menjadi persoalan sehingga hari ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Ketujuh di sini pada Selasa.

Jamil Khir berkata, transaksi kewangan dalam perdagangan forex boleh dianggap sebagai sesuatu yang menguji akal dan minda pakar syariah untuk memberikan pandangan mengenai perkara itu.

"Justeru pertemuan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada alim ulama, penasihat syariah, wakil industri, ahli akademik, pakar perundangan dan para penyelidik dalam muzakarah sehari itu menemui resolusi untuk dihebahkan kepada orang ramai," ujarnya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, kerajaan bercadang mewujudkan fakulti khas dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam demi melahirkan lebih ramai golongan cendiakawan dalam bidang tersebut.

"Kita tidak mahu negara ketandusan pemimpin atau ilmuan yang boleh menjawab persoalan tentang syariah dan muamalat dalam sistem kewangan Islam. Oleh itu, kita merangka program ini secara serius.

Beliau berkata, Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Mesir dan Arab Saudi berhubung cadangan untuk menjalin kerjasama dengan kedua-dua negara itu dalam bidang tersebut.

"Pelajar tidak perlu dihantar lagi ke negara tersebut untuk mendalami ilmu ekonomi dan kewangan Islam dengan kewujudan fakulti itu nanti," katanya.

Jelas beliau, setakat ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menghantar seramai 63 pelajar Malaysia yang mendapat tajaan bagi mendalami ilmu itu di Mesir dengan kerjasama Amanah Raya Berhad.

"Saya harap usaha ini dapat dijalan dengan baik supaya kita tidak dilihat sebagai pemain tempelan tetapi pemangkin dalam merangka hala tuju negara menjelang 2020," tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan