Tiada Langkah Untuk Singkir Koh Tsu Koon Sebagai Presiden Gerakan

Diterbitkan: Isnin, 30 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gerakan menafikan terdapat usaha dari dalam parti itu untuk menyingkirkan presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon walaupun terdapat laporan bahawa semakin ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata malahan kini pemimpin dan ahli parti sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di bawah kepimpinan Koh.

"Ia tidak benar. Ada orang yang mahukan publisiti dengan membuat dakwaan demikian," katanya ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bekas naib ketua pemuda parti itu, S. Paranjothy bahawa wujud perasaan tidak puas hati dalam parti dan terdapat ahli yang merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyikirkan Koh.

Paranjothy yang merupakan ketua cawangan Taman Ehsan mendakwa ramai ahli yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinan Koh yang dianggap lebih sebagai "yes man" dan mengenepikan pandangan dan isu yang dikemukakan oleh sayap Pemuda dan Wanita.

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lebih berminat untuk menjaga kedudukan politiknya dalam kerajaan dan tidak menghiraukan masalah dalam parti.

Bukan itu sahaja, Koh dikritik kerana kerana tidak mengemukakan strategi untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada pembangkang.

Namun Chang menjelaskan adalah perkara biasa bagi mana-mana ahli parti untuk mempunyai pandangan yang berbeza mengenai banyak isu, tetapi ia tidak bermakna mereka merancang untuk menjatuhkan pemimpin parti.

Malah katanya, di bawah kepimpinan Koh, Gerakan telah membuka lebih banyak cawangan dan menarik lebih ramai ahli baru di seluruh negara.

Beliau memberi contoh, Gerakan berjaya menarik empat anggota dewan undangan negeri bebas, tiga di Sabah dan seorang di Pahang menyertai parti itu.

Mereka ialah Peter Pang En Yin (Karamunting), Raymond Tan Shu Kiah (Tanjung Papat) dan Au Kam Wah (Elopura) semuanya dari Sabah serta Ho Yip Kap (Tanah Rata) dari Pahang yang menang pada pilihan raya umum 2008.

Pang keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menyertai Gerakan pada Mac lalu sementara Tan dan Au keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) selepas parti itu keluar dari gabungan Barisan Nasional pada September 2008.

Chang juga berkata di bawah kepimpinan Koh, bekas naib presiden LDP, Datuk Liew Yun Fah turut menyertai Gerakan.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow turut menafikan terdapat rancangan untuk mengadakan EGM bagi menyikirkan Koh.

"Jika benar, saya adalah orang pertama yang akan tahu kerana mereka perlu mengemukakan permintaan kepada Setiausaha Agung. Saya boleh beritahu kamu, tidak ada perkara itu, hanya ada orang sengaja mahu buat cerita," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan