Kerajaan Beri Tanah Secara Pajakan Bina Kompleks Sukan

Diterbitkan: Ahad, 29 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan tanah seluas 2.87 ekar secara pajakan kepada Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa bagi membina sebuah kompleks sukan di sekolah tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini berkata permintaan untuk membina kompleks sukan oleh lembaga sekolah itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kem Sains ke-7 sekolah berkenaan pada Ahad, Koh berkata cadangan pembinaan kompleks itu bukan sahaja untuk kegunaan pelajar sekolah berkenaan tetapi juga ditawarkan kepada sekolah-sekolah berhampiran dengan persetujuan pihak lembaga sekolah.

"Kompleks itu juga boleh digunakan untuk temasya sukan di peringkat daerah dan negeri di Wilayah Persekutuan ini...maka ini merupakan satu 'win-win formula' di antara pihak kerajaan dan pihak sekolah," katanya.

Katanya arahan telah diberikan kepada pegawai Kementerian Pelajaran untuk mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah mengenai pelan pembangunan kompleks sukan seperti yang dicadangkan oleh lembaga sekolah itu.

Koh berkata kerja-kerja pembinaan akan bermula secepat mungkin selepas pelan kompleks tersebut dipersetujui oleh pihak-pihak berkaitan dan mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 61 buah sekolah persendirian Cina telah banyak berkembang setakat ini dan ia memberi sumbangan kepada negara dengan menghasilkan lepasan sekolah yang berkaliber khasnya dalam bidang sains, matematik dan teknologi.

"Sekolah-sekolah ini juga sangat membantu kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai guru bahasa Cina untuk semua aliran sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan di mana bahasa Cina diajar sebagai satu mata pelajaran penting," katanya lagi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan