DAP Tamak Mahu Letak Calon Kaum Melayu - Berita Semasa | mStar

DAP Tamak Mahu Letak Calon Kaum Melayu

Diterbitkan: Ahad, 29 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Tindakan DAP yang akan meletakkan calon Melayu pada pilihan raya umum akan datang disifatkan sebagai tamak dan rasa tidak yakin parti itu terhadap calon parti pembangkang lain. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan itu dibuat berikutan beberapa negeri yang memperuntukkan hanya orang Melayu sahaja menjadi ketua negeri berbanding kaum lain.

Katanya kejadian yang berlaku di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu patut dijadikan iktibar kepada mereka untuk memilih orang Melayu dalam parti itu bertanding pada pilihan raya umum nanti.

"Perkara itu perlu dilihat oleh rakan parti pembangkang lain khususnya PAS kerana selama ini mereka diperkudakan oleh DAP demi kepentingan politik sendiri dan untuk itu pemimpin Melayu dalam PAS perlu menyedarinya supaya jika tersilap langkah, ia akan merugikan kaum itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Temerloh di sini, Ahad.

Noh berkata orang Melayu yang masih dalam dilema memilih parti yang boleh meneruskan perjuangan mereka menyebabkan DAP mengambil kesempatan untuk berbuat demikian dan peluang itu digunakan DAP untuk meraih sokongan.

Menurutnya perkara itu tidak benar kerana perjuangan DAP adalah satu kaum dan ia boleh dilihat dengan nasib Melayu yang berlaku di Pulau Pinang.

Katanya, hanya Umno dan Barisan Nasional sahaja memperjuangkan nasib rakyat sehingga mendapat manfaat daripada pelbagai pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan