Najib Umum Sendayan Sebagai Pangkalan Baru TUDM

Diterbitkan: Sabtu, 28 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menandatangani plak perasmian Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Tentera Syed Sirajuddin di Gemas, Sabtu. Turut kelihatan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (kiri). - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menandatangani plak perasmian Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Tentera Syed Sirajuddin di Gemas, Sabtu. Turut kelihatan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (kiri). - Foto BERNAMA

GEMAS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menamakan kawasan Sendayan di Negeri Sembilan sebagai pangkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan pangkalan TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Sendayan terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban.

Najib mengumumkan perkara itu ketika ditanya pemberita selepas selesai melawat Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu atau saiz pengkalan yang bakal dibina.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berada dalam sesi media yang sama berkata: "Satu pengumuman yang lebih lanjut mengenainya akan dibuat nanti,".

Akhbar hari ini memetik Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud sebagai berkata lokasi pangkalan udara baru itu telah dikenal pasti tetapi enggan menyatakan lokasinya kerana kontrak mengenainya akan ditandatangani pertengahan Jun.

Katanya TUDM akan menjadikan pangkalan itu sebagai pangkalan latihan dan menempatkan unit-unit latihan yang terdapat di setiap pangkalan udara di seluruh negara di satu lokasi sahaja.

Sementara itu dalam isu lain, Najib memberitahu, kerajaan akan melaksanakan strategi baru untuk memastikan saiz kakitangan awam yang bersesuaian.

Pada masa sekarang, terdapat pembekuan selama tiga bulan dari pengambilan kakitangan baru untuk menggantikan jawatan-jawatan kosong, katanya.

Saiz yang bersesuaian ini akan memberi manfaat kepada negara iaitu para pegawai dan kakitangan yang lebih produktif.

"Ini juga bermakna kakitangan kerajaan akan mendapat ganjaran yang lebih baik pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan