PTPTN Sedia Beri Kelonggaran Bayaran Balik Pinjaman

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia memberikan pertimbangan wajar berhubung pembayaran balik pinjaman kepada peminjam yang masih belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata pada dasarnya PTPTN telah mensyaratkan setiap peminjam perlu membayar balik pinjaman tersebut selepas enam bulan tamat pengajian mereka.

"Bagaimanapun PPTN bersedia memberikan pertimbangan. Apa pun peminjam (yang belum mendapat pekerjaan) perlu melaporkan kepada PTPTN atau datang bersemuka berunding. "Kita akan memberikan kelonggaran dan menjadual semula bayaran balik pinjaman tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Ismail yang juga anggota Parlimen Kuala Krau berkata, apa yang dikesalkan ialah terdapat sejumlah yang besar peminjam terbabit tidak berbincang atau melaporkan kepada pihak PTPTN berkenaan sebab musabab mereka tidak mampu membayar balik pinjaman itu.

"Sebahagian besar mereka yang tamat pengajian tidak melapor atau berhubung dengan PTPTN menyebabkan pentadbiran PTPTN terpaksa mengambil tindakan undang undang dan menyenarai hitam nama mereka," katanya.

Beliau berkata terdapat seramai lebih 228,000 peminjam yang tamat pembelajaran dengan pinjaman berjumlah RM2.5 billion tiada memberi sebarang maklum balas berhubung pembayaran balik berkenaan.

"Mereka ini telah dihubungi beberapa kali tetapi tidak memberi maklumbalas, dan pihak PTPTN terpaksa bertindak senaraihitam nama mereka terbabit," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan