Malaysia-Indonesia Tandatangan MoU Pembekuan Pembantu Rumah 30 Mei

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia dijadual memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin ini, yang antara lain akan membawa kepada penarikan balik pembekuan penghantaran pembantu rumah dari republik itu ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam dalam kenyataan hari ini berkata majlis menandatangani perjanjian itu dijadual berlangsung pada pukul 6.30 petang di Gedung Sate Bandung, Indonesia.

MoU itu akan ditandatangani oleh Dr Subramaniam bagi pihak Malaysia manakala Indonesia oleh Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar.

Dr Subramaniam juga berharap masalah kekurangan pembantu rumah di negara ini akan dapat diatasi apabila perjanjian itu ditandatangani.

Pada Jun 2009, Jakarta membekukan penghantaran pembantu rumah dari Indonesia ke Malaysia berikutan laporan kes penderaan oleh majikan dan ketiadaan kemudahan yang diberi kepada pembantu rumah seperti gaji minimum bulanan dan cuti mingguan.

Pada 18 Mei 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perbincangan empat mata dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di sini, mengumumkan bahawa kedua-dua negara telah menandatangani satu Surat Hasrat berkaitan bidang tenaga kerja.

Pada perbincangan antara Dr Subramaniam dan Muhaimin pula di Kuala Lumpur pada 21 Mac lepas, kedua-dua pihak telah mengumumkan bahawa perjanjian itu akan ditandatangani di republik itu.

Pada Sabtu lepas, Dr Subramaniam, dilaporkan sebagai berkata bahawa Kuala Lumpur telah mencadangkan tarikh untuk memeterai MoU itu dan kini menunggu pengesahan Jakarta mengenainya.

Dianggarkan 300,000 pembantu rumah Indonesia bekerja di Malaysia.

Berdasarkan jumlah majikan yang mendaftarkan diri dengan agensi pembekal pembantu rumah di negara ini, Malaysia memerlukan khidmat 35,000 pembantu rumah dengan segera. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan