Kerajaan Kelantan Didesak Hentikan Pembalakan Di Kawasan Tadahan Air

Diterbitkan: Khamis, 26 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Kerajaan PAS Kelantan didesak menghentikan kegiatan pembalakan di Bukit Ulu Sat dan Bukit Tapong di sini yang merupakan kawasan tadahan air bagi mengelak kesan buruk terhadap lebih 300 penduduk yang tinggal di pinggir tanah tinggi berkenaan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata kawasan seluas 200 hektar yang baru diluluskan kepada beberapa syarikat pembalakan telah menganggu proses bekalan air kepada penduduk terutama peserta Felcra.

"Selain untuk bekalan air minuman, mandi dan membasuh pakaian mereka juga menggunakan air itu bagi tujuan pertanian," katanya ketika ditemui di sini, Khamis.

Bulan lepas sebahagian penduduk di kawasan berkenaan termasuk di kampung sekitarnya mendakwa bekalan air ke perkampungan mereka seringkali terganggu dan bercampur lumpur terutama apabila berlaku hujan lebat akibat hakisan aktiviti pembalakan itu.

Zawawi berkata kedua-dua lokasi itu adalah kawasan tadahan hujan sejak tiga dekad dan tidak dibenarkan sebarang bentuk aktiviti dilakukan demi kepentingan penduduk di situ. Beliau mendakwa kegiatan pembalakan yang diluluskan kebelakangan ini mengakibatkan banyak berlaku kemusnahan alam sekitar, menganggu bekalan air serta hidupan liar.

Baru-baru ini sekumpulan enam ekor gajah liar menceroboh kawasan perkampungan apabila kawasan habitat di atas bukit terbabit diceroboh untuk pembalakan.

"Ini menyebabkan penduduk hilang mata pencarian dan kini berada dalam ketakutan untuk mengerjakan ladang dan menoreh getah setiap hari," katanya.

Zawawi berkata selain itu penduduk di bandar Pasir Puteh juga termasuk peniaga turut menerima tempiasnya apabila mereka seringkali keputusan bekalan air sampai berminggu-minggu akibat Sungai Rasau yang mendapat sumber air dari kawasan Bukit Tapong semakin kering.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mukim Gong Kelih, Mat Lazim Zakaria berkata jika kerajaan negeri tidak menarik balik kelulusan itu kemungkinan penduduk akan kehilangan sumber bekalan air. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan