Akta Sewa Beli (Pindaan 2010) Tetap Dikuatkuasakan Bulan Depan

Diterbitkan: Khamis, 26 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap menguatkuasakan Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) pada 15 Jun ini, meskipun ada desakan daripada Persatuan Penjual Kereta Terpakai Malaysia supaya menangguhkannya sehingga tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata pihaknya berpendapat bahawa penguatkuasaan itu perlu dilaksanakan segera bagi melindungi pengguna dan juga pihak penjual kereta terpakai.

"Sebenarnya penguatkuasaan akta itu memberikan situasi menang-menang selain memastikan bahawa tiada ruang yang boleh digunakan oleh mana-mana pihak untuk manipulasi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan di sini, Khamis. Tan berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam perbincangan itu ialah mengenai rasa tidak puas hati pihak persatuan mengenai penguatkuasaan bayaran yuran tempahan tidak melebihi satu peratus daripada harga tunai barangan.

"Perkara itu perlu dikuatkuasakan memandangkan sebelum ini terdapat segelintir pihak yang menggunakan kelemahan perundangan sedia ada dengan tidak mengembalikan semula bayaran itu sekiranya terdapat pembatalan tempahan. "Lebih serius ada yang menipu dengan menggelapkan kesemua bayaran tempahan daripada pelanggan yang berurusan dengan mereka," katanya.

Persatuan juga katanya tidak berpuashati terhadap penambahan tahap pemeriksaan kenderaan terpakai daripada B5 kepada B7 dengan penambahan 18 lagi tempat yang perlu diperiksa untuk memastikan kenderaan tersebut benar-benar layak berada di atas jalan raya.

"Pemeriksaan itu sekaligus dapat mengurangkan bilangan kenderaan tidak selamat untuk digunapakai daripada terus dijual atau berada di atas jalan raya demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan