Video Seks: Kertas Siasatan Sedang DitelitI Peguam Negara - Ismail

Diterbitkan: Rabu, 25 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kertas siasatan mengenai laporan video seks yang didakwa melibatkan pemimpin parti pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

“Berkenaan dengan video seks itu saya percaya pihak Peguam Negara sedang meneliti laporan yang kita berikan,” katanya kepada pemberita pada sidang media majlis penyerahan sumbangan 10 unit Proton Inspira oleh Proton kepada Polis Diraja Malaysia di Pusat Kecermelangan Proton di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes video seks itu.

Pada 14 Mei lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan rakaman video seks didakwa mirip Anwar adalah tulen dan belum diedit setelah mendapat khidmat pakar pengimejan video di AS.

Pada 25 Mac lalu, Datuk Syazril Eskay dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik menyerahkan pita video seks dan jam tangan Omega yang didakwa milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada polis walaupun sebelum ini berkeras enggan berbuat demikian.

Mereka adalah dua daripada tiga kumpulan trio 'Datuk T' yang mengaku sebagai yang bertanggungjawab memperlihatkan kepada wakil media klip video seks terbabit. Seorang lagi ialah Datuk Shuib Lazim.

Bagaimanapun, Anwar menafikan beliau adalah lelaki di dalam klip berkenaan dan telah membuat laporan polis meminta mereka menyiasat individu yang menyiarkan video seks tersebut kepada sekumpulan wartawan.

Dalam perkembangan lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin dengan penajaan 10 buah kereta Proton Inspira tersebut dapat membantu melengkapkan pasukan polis dengan peralatan yang mampu membanteras jenayah dalam tempoh waktu yang singkat.

“Saya yakin dengan sumbangan Proton Holdings ini akan membawa pulangan yang berlipat ganda bukan sahaja kepada PDRM tetapi kepada masyarakat amnya.

“Anggota polis perlu menghargai harapan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh semua pihak dengan meningkatkan mutu kerja serta disiplin yang tinggi dalam usaha membanteras insiden jenayah di negara ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohamed Tahir, Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Justeru, beliau berharap dengan penajaan kereta daripada Proton itu dapat memperbaiki ‘tempoh bertindak’ kereta peronda polis daripada 12 minit kepada empat minit.

“Saya ingin melihat tempoh bertindak kereta peronda polis yang pada masa ini ditetapkan tidak melebihi 12 minit dipercepatkan.

“Misalnya, tempoh bertindak sesebuah kereta peronda yang berada dalam lingkungan satu kilometer daripada tempat kejadian hendaklah sampai ke tempat tersebut dalam tempoh empat minit,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut merupakan satu cabaran yang tidak mustahil dan boleh menjadi kenyataan dengan komitmen serta kesungguhan anggota-anggota PDRM.

Sementara itu, Syed Zainal berkata, sejak 25 tahun lalu Proton telah menaja hampir 3,752 buah kereta keluaran mereka sebagai kereta peronda polis.

“Proton telah mengambil insiatif untuk mengubahsuai 10 model Proton Inspira menjadi kereta peronda polis. Kereta ini telah diubahsuai dan dilengkapi dengan sistem lampu amaran dan siren bersepadu, pelekat pembalik cahaya dengan logo PDRM serta sistem telekomunikasi radio bergerak.

“Kami percaya kereta peronda polis merupakan satu keperluan yang amat penting dalam memantau serta memerangi jenayag,” katanya.

Menurutnya, dalam menyediakan keperluan tersebut hubungan Proton dan PDRM diteruskan lagi dengan kerjasama meneroka pembangunan prototaip kereta peronda polis (Mobile Police Vehicle) dari model Proton Inspira.

“Prototaip ini masih dalam pembangunan sejak setahun yang lalu. Proton sentiasa komited dalam menambahbaik kualiti produknya apabila setiap model baru dikeluarkan.

“Dalam konteks ini, pihak PDRM pasrinya akan turut berkongsi manfaat daripada usaa penambahbaikan ini apabila model terbaru tersebut dijadikan kereta peronda,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan