Husam Musa Umum Tanding Naib Presiden PAS

Diterbitkan: Rabu, 25 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pada Selasa mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan PAS bulan depan.

"Atas perkembangan dalam dan luar parti, saya dengan penuh rasa rendah diri mengumumkan untuk menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menjelaskan pada mulanya beliau hanya bercadang bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat tetapi pengumuman Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang bersetuju untuk bertanding jawatan timbalan presiden, menyebabkan beliau menimbangkan semula pendiriannya.

"Ini terutamanya pandangan perlunya satu wakil Kelantan di peringkat yang lebih tinggi di dalam parti," katanya.

Selain Husam, penyandang Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan, Idris Ahmad turut menyatakan mereka akan bertanding jawatan naib presiden.

Pemimpin lain yang layak bertanding naib presiden tetapi belum menyatakan pendirian mereka ialah Bendahari Agung, Dr Hatta Ramli; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Exco Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah; AJK Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Setiausaha Dewan Ulama, Nik Zawawi Nik Salleh dan Mazlan Aliman.

Mazlan mengesahkan hari ini tidak akan bertanding jawatan naib presiden sebaliknya hanya akan menerima pencalonan bagi AJK.

Kesemua calon untuk jawatan tertinggi mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum Khamis ini.

Jawatankuasa pemilihan dijangka mengumumkan calon yang layak bertanding Jumaat ini sementara pemilihan akan dijalankan semasa muktamar dari 3 hingga 5 Jun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan