Pusingan 'U' Tuan Ibrahim Pecah Undi Mat Sabu, Nasharuddin

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SELEPAS Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disahkan menang tanpa bertanding pada pemilihan parti kali ini, tumpuan kini diberikan kepada pertarungan sengit bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini.

Biarpun sebelum ini pernah menegaskan tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, keputusan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat pusingan ‘u’ dengan mengumumkan kesediannya bertanding jawatan nombor dua parti itu dilihat bakal mencipta keputusan luar jangka pada pemilihan kali ini.

Keputusan beliau sekaligus melengkapkan saingan tiga penjuru selepas penyandangnya Nasharuddin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu mengesahkan pendirian masing-masing.

Persoalannya siapakah calon yang bakal memenangi kerusi Timbalan Presiden pada Muktamar PAS ke-57 kali ini?

Jika dilihat dari jumlah pencalonan sudah pasti ramai yang melihat Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Mat Sabu’ berpeluang cerah merampas kerusi Timbalan Presiden daripada Nasharuddin pada pemilihan kali ini.

Difahamkan setakat ini, Mat Sabu telah menerima hampir 70 pencalonan daripada 152 PAS kawasan berbanding Nasharuddin memperoleh 40 pencalonan sementara Tuan Ibrahim mendapat 39 pencalonan.

Walaupun Tuan Ibrahim dilihat calon bukan pilihan dari segi pencalonan, tetapi ternyata beliau adalah yang paling popular sejak kebelakangan ini.

Ditambah pula keputusan beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dilihat bakal mengubah corak pengundian ahli PAS pada pemilihan kali ini.

Dilihat sebagai mewakili golongan ulama, Tuan Ibrahim berpeluang cerah untuk menang kerusi Timbalan Presiden berbanding Mat Sabu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman melihat keputusan Tuan Ibrahim bertanding kerusi nombor dua PAS itu bakal memecahkan undi Mat Sabu dan Nasharuddin pada pemilihan nanti.

“Bagi saya kerusi nombor dua PAS lebih memihak kepada Mat Sabu namun dengan keputusan Tuan Ibrahim, pola pengundian sudah pasti berubah.

“Akan berlaku pecah undi antara ahli yang memilih Mat Sabu dan Nasharuddin. Di sini lah Tuan Ibrahim akan ada kelebihan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Bukan itu sahaja, Ahmad Nidzammuddin yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, corak kepimpinan Tuan Ibrahim sebagai Naib Presiden pada ketika ini juga dilihat sebagai bonus kepadanya memenangi saingan kali ini.

“Namun jangan kita lupa pada Mat Sabu, dia ada kelebihan tersendiri. Bukan sahaja ahli PAS menyenanginya bahkan pemimpin Pakatan Rakyat turut menyenanginya kerana sikapnya yang banyak memperjuangkan hak rakyat dan sanggup tidur di lokap kerana terlibat dengan pelbagai kempen pembangkang,” katanya.

Menurutnya, Mat Sabu yang pernah menjadi Naib Presiden PAS pada pemilihan parti 2007 juga masih punya penyokongnya tersendiri dan dilihat agak menonjol pada kempen kali ini.

“Apa yang saya lihat ada perang psikologi antara penyokong Mat Sabu dan Nasharuddin di awal kempen pemilihan baru-baru ini.

“Masing-masing cuba menyatakan calon pilihan mereka mendahului dengan selesa berbanding calon lawan,” katanya.

Selain Nasharuddin, Mat Sabu dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden, Salahudin Ayub.

Bagaimanapun, sehingga kini, hanya Nasharuddin dan Mat Sabu serta Tuan Ibrahim mengesahkan untuk menyertai perebutan jawatan Timbalan Presiden manakala Salahudin membayangkan akan hanya mempertahankan jawatannya sekarang iaitu Naib Presiden.

Selain kerusi Timbalan Presiden, kerusi Naib Presiden turut menjadi rebutan pada pemilihan PAS kali ini.

Seramai 14 orang calon layak bertanding jawatan tersebut, antaranya Datuk Mahfuz Omar, Tuan Ibrahim, Salahuddin, Husam, Mat Sabu, Ketua Penerangan Idris Ahmad, Azizan, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, Datuk Mohd Amar Abdullah, Dr. Mohd Hatta Ramli, Dr Mujahid Yusof Rawa, Nik Zawawi Nik Salleh dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin

Bagaimanapun setakat ini, hanya Mahfuz, Idris Ahmad, Tuan Ibrahim, Dr Hatta telah menyatakan kesedian merebut tiga kerusi Naib Presiden.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar telah menarik diri daripada saingan jawatan Naib Presiden sebaliknya beliau hanya mahu mempertahankan kerusi AJK Pas Pusat yang dimenanginya sebelum ini.

Kerusi Naib Presiden menyaksikan saingan lebih terbuka dengan Salahuddin dan Mahfuz dijangka tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Namun kedudukan mereka masih belum selamat, kerana calon seperti Idris, Nizar dan Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan dikatakan punya peluang untuk menang kerusi Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Sememangnya jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden memainkan peranan penting untuk PAS menentukan hala tuju parti itu seterusnya.

Oleh itu, pemilihan PAS kali ini dilihat penting untuk menentukan survival parti terutamanya dalam Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan