Kerajaan Ambil Alih Bernama TV Berkuatkuasa 1 Jun - Rais

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Kerajaan akan mengambil alih pentadbiran Bernama TV (BTV) mulai 1 Jun, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menurutnya keputusan itu dibuat selepas penerima konsesi itu bersetuju untuk menyerahkan Bernama TV kepada kementerian selain mengakui mereka tidak mampu untuk meneruskan khidmat sedia ada.

"Pihak kami di kementerian akan mula menguruskan pengurusan baru itu pada 1 Jun dan 'detail'nya akan kami huraikan hari itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Siri Pembangunan Industri: Persidangan Mengenai Peluang-peluang Untuk Industri Kecil dan Sederhana Melalui ICT Jalur Lebar di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di sini, Selasa.

Difahamkan stesen televisyen itu sudah pun menghentikan liputannya ke atas negeri Sarawak dan Sabah sejak beberapa bulan lepas untuk memberi tumpuan kepada kawasan Lembah Klang.

Saham BTV Synergy Sdn Bhd dimiliki oleh Silver Ridge Bhd sebanyak 67 peratus dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebanyak 33 peratus menerusi perjanjian 2008.

Silver Ridge kemudian menghadapi masalah kewangan dan menyerahkan urusan bilik berita BTV kepada satu lagi syarikat swasta iaitu Redberry Sdn Bhd. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan